Didik wanita, terdidik generasi. Begitulah kata-kata keramat program pencarian Ustazah Pilihan di Astro Oasis. Pelbagai cabaran dan dugaan telah ditempuhi demi mengejar cita-cita menjadi ikon Muslimah. Saban minggu kita menyaksikan penyingkiran demi penyingkiran, kini perjuangan empat calon finalis Ustazah Pilihan sudah sampai ke kemuncaknya.
FINALIS USTAZAH PILIHAN
1.   SITI
2.   HIDAYA
3.   FIRUZ
4.   FIRA
SINOPSIS TUGASAN AKHIR
Finalis Ustazah Pilihan diberi tugasan terakhir untuk mendekati permasalahan dan implikasi nikah di sempadan. Ustazah Pilihan sebelum itu, dibawa ke Pejabat Agama Islam di Songkhla, Thailand untuk bertemu dengan juru nikah di sana dan sesi soal jawab diadakan bagi mengetahui prosedur pernikahan di sempadan dijalankan.
Kemudian, mereka diberi taklimat oleh Konsul General Malaysia di Songkhla, Thailand untuk mengetahui apakah punca, faktor dan implikasi terhadap pernikahan di sempadan. Dengan kerjasama Konsulat General Malaysia, Ustazah Pilihan berpeluang untuk bertemu sendiri dan menemubual pasangan yang bernikah di sempadan.
Setiap finalis diberikan pasangan untuk mereka mengupas apakah permasalahan dan punca pasangan tersebut bernikah di sempadan disamping untuk mengetahui tindakan yang bakal pasangan tersebut akan lakukan selepas mendaftar pernikahan mereka di Konsulat termasuklah langkah-langkah yang bakal mereka ambil setelah pulang ke tanah air.
Finalis turut berhadapan dengan cabaran seperti pasangan yang tidak mahu memberikan kerjasama. Walaubagaimanapun, mereka akhirnya bertemu dengan pasangan yang sanggup berkongsi cerita. Pelbagai cerita pahit dan manis telah pasangan ini berkongsi bersama finalis.
Selain itu, finalis juga berpeluang mengunjungi tempat-tempat perlancongan dan turut dibawa ke Perkampungan Islam Ban Nua, Songkhla, Thailand untuk beramah mesra dengan orang Islam di sana. Tujuannya ialah untuk mengetahui bagaimana keadaan orang-orang Islam disana terutamanya wanita menjalani kehidupan mereka.
Tugasan ini menyumbangkan 40 peratus daripada markah keseluruhan. 40 peratus lagi dinilai daripada ujian bertulis manakala baki 20 peratus dikira berdasarkan hujah yang disampaikan pada Raudhah Ustazah Pilihan yang bakal dijalankan secara langsung pada hari Khamis, 1 Disember ini bermula jam 9.00 malam di SACC, Shah Alam.