Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dikatakan telah melakukan ujian saringan Covid-19 dan menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Memetik laporan Harian Metro, Ismail tampil membatalkan sidang media semalam selepas mendapat tahu mengenai keadaan Dr Zulkifli yang disahkan positif Covid-19 semalam.
Menurut beliau, selain mempunyai kontak rapat dengan Menteri Hal Ehwal Agama itu, pembatalan sidang media itu dilaksanakan kerana enggan memberi risiko kepada petugas media.
“Ramai orang persoalkan kenapa tiba-tiba saya membatalkan sidang media saya hari ini. Sebenarnya pagi tadi saya mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri untuk membincangkan tindakan seterusnya untuk mengawal penularan Covid-19 seperti memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) zon Kota Kinabalu, termasuk Penampang dan Putatan,” katanya.
Disoal mengenai ujian saringan yang dilakukannya semalam, Ismail memaklumkan keputusannya dijangka diketahui hari ini. Malah tidak ketinggalan berharap agar keputusannya negatif.
Selain Ismail, Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menjalani kuarantin kendiri dan menjalankan tugas dari rumah kerana mempunyai kontak rapat dengan Dr Zulkifli.
Untuk rekod, kesemua mereka dipercayai hadir pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 3 Oktober lalu yang dipengerusikan Muhyiddin. Selain itu, beberapa anggota kabinet dan pemimpin agensi kerajaan juga difahamkan turut hadir pada mesyuarat tersebut.