Polis Johor Bahru Selatan berjaya membongkar rahsia hidup mewah empat warga asing sehingga mampu memiliki kenderaan mewah jenis Maserati Granturismo bernilai lebih RM400,000 selepas mereka ditahan di sekitar bandar raya itu pada 22 Januari lalu.
Menurut Ketua Polis daerah itu, Asisten Komisioner Raub Selamat, mereka yang ditahan adalah dua lelaki dan seorang wanita Singapura dan seorang lagi wanita warga Thailand berusia antara 30 hingga 40 tahun.
Katanya, penangkapan mereka ini adalah susulan tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang disyaki pengedar dadah.
Ahli sindiket tertangkap
Lapor Kosmo, serbuan pertama dilakukan susulan siasatan kes rompakan bersenjata yang dilakukan suspek warga tempatan berusia 36 tahun ke atas sebuah kedai snuker di kawasan Stulang Laut di sini pada 17 Januari.
Dalam rompakan itu, suspek menggunakan sebilah pisau lipat dan melarikan wang tunai RM1,060 daripada juruwang bertugas. Hasil siasatan itu, polis membuat tangkapan ke atas suspek dan merampas beberapa barangan termasuk motosikal Yamaha LC, telefon bimbit serta beg berwarna hitam.
Pemeriksaan lanjut pihak polis membawa kepada penemuan dadah jenis heroin dan syabu seberat kira-kira tiga kilogram yang dibawa suspek.
Selepas disiasat, suspek mengaku menjadi ahli sindiket yang didalangi oleh warga asing berkenaan. Polis kemudian melakukan serbuan ke atas sebuah pangsapuri mewah di bandar raya itu dan berjaya menahan keempat-empat suspek.
Hasil kedua-dua serbuan ini polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk 2.27kg heroin, ganja (1.06kg), ketamin (590.66 gram), serbuk ekstasi (174 gram), syabu (6.3 gram), pil eramin 5 (1.3 gram dan 13.67 liter cecair disyaki dadah bernilai RM97,707.86.
Rumah jadi tempat proses dadah
Sindiket itu sudah beroperasi sejak Disember tahun lalu dan rumah pangsapuri mewah berkenaan dijadikan sebagai tempat memproses dadah termasuklah membancuh cecair rokok elektronik atau vape berperisa dadah.
Polis turut merampas sebuah kereta Maserati Granturismo, Proton Satria, motosikal jenis Honda CBR 150 dan mata wang Dolar Singapura serta Ringgit Malaysia dan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan ialah RM524,227.86.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati kelima-lima suspek positif dadah dan semakan mendapati lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Singapura mempunyai rekod jenayah lampau.
Kesemua suspek direman sehingga 29 Januari untuk membantu siasatan termasuklah Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.