Sebatang pokok tualang yang sebelum ini tular dan dikaitkan dengan pelbagai kisah mistik di Kampung Sungai Bayu, Kelantan akhirnya berjaya ditebang selepas empat kali cubaan sebelum ini dilaporkan gagal.
Pengurusan Trafik bagi projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 2A, Zillullah Zakaria, 30, berkata setiap cubaan terdahulu untuk menebang pokok berkenaan tidak berjaya, malah individu yang terlibat dilaporkan mengalami demam sehingga lebih seminggu.

“Sudah empat kali kami cuba tebang pokok tualang ini namun gagal. Setiap kali berbuat demikian, mereka yang terlibat akan demam lebih seminggu,” katanya.
Menurut Zillullah, sebelum kerja-kerja penebangan dimulakan, pihaknya mengadakan solat hajat serta bacaan al-Quran sebagai ikhtiar memohon kelancaran urusan. Pokok tualang setinggi kira-kira 60 meter dan dipercayai berusia lebih 120 tahun itu akhirnya berjaya ditumbangkan dengan sempurna.
Beliau memaklumkan, proses penebangan mengambil masa sekitar lima jam bermula jam 7 pagi dan selesai kira-kira jam 12 tengah hari.
“Pelbagai kisah berlaku sepanjang hampir dua tahun perancangan untuk menebang pokok ini, termasuk empat kali cubaan yang tidak berjaya,” ujarnya.
Tambahnya, sebelum ini Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia tidak membenarkan pokok tersebut ditebang kerana dianggap sebagai khazanah negeri. Namun selepas permohonan semula dan perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), keputusan dibuat untuk menebangnya atas faktor keselamatan dan keperluan projek.
@hmetromy Pokok tualang yang dianggarkan berusia lebih 120 tahun terletak di Jalan Gua Musang-Kota Bharu, berhampiran Kampung Sungai Bayu, Gua Musang, ditebang. #harianmetro

Zillullah menjelaskan, tindakan menebang pokok itu perlu dilakukan kerana kedudukannya yang berada berhampiran bahu jalan, sekali gus mengganggu pembinaan lebuh raya LTU Pakej 2A.
Pokok tualang tersebut sebelum ini menjadi perhatian ramai apabila tular di media sosial dan dikaitkan dengan dakwaan mempunyai ‘penunggu’, selain dipercayai menjadi punca kawasan berkenaan sering berlaku kemalangan jalan raya. Pokok itu terletak di laluan Kuala Krai–Gua Musang dan menjadi bualan ramai sejak beberapa bulan lalu.
Selain itu kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
