Emirates Rancang “Buka Pintu” Tawaran, Peluang Untuk Juruterbang Malaysia Airlines Yang Berminat

Trending

Emirates Rancang “Buka Pintu” Tawaran, Peluang Untuk Juruterbang Malaysia Airlines Yang Berminat

emirates-number-contact

Emirates dikhabarkan sedia mengambil juruterbang Malaysia Airlines Bhd yang berminat menyertai syarikat penerbangan itu yang berpengkalan di Dubai.

Advertisement

Naib Presiden Kanan Bahagian Emirates Adnan Kazim berkata, rancangan Emirates untuk mengambil juruterbang dari syarikat penerbangan lain telah pun berjalan.

“Memang ada rancangan untuk mengambil juruterbang baharu, termasuk dari Malaysia Airlines, namun belum ada maklumat mengenai bilangan juruterbang Malaysia Airlines atau bila pengambilan akan dibuat,” katanya pada taklimat media di sini hari ini.

Pada Disember lepas, Malaysia Airlines dan Emirates telah menandatangani perjanjian perkongsian kod, yang merupakan sebahagian daripada program rasionalisasi laluan syarikat penerbangan Malaysia.

Program rasionalisasi itu menyaksikan Malaysia Airlines akan menamatkan beberapa laluan termasuk ke Frankfurt, Istanbul dan Brisbane.

Destinasi terbaharu penamatan perkhidmatan harian ialah ke Paris dan Amsterdam, yang dijadualkan berakhir pada 1 Feb.

Malaysia Airlines akan menggantung laluan Kuala Lumpur-Dubai pada 15 Feb dan mengatur semula penumpang menggunakan perkongsian kod penerbangan dengan Emirates.

Malaysia Airlines sebelum ini turut melaporkan bahawa proses rasionalisasi rangkaiannya akan memberi impak kepada juruterbang, namun mereka sudah diberikan pilihan yang tidak termasuk pemberhentian kerja.

Juruterbang ini dilaporkan akan mempunyai pilihan kerjaya, termasuk dipinjamkan kepada syarikat penerbangan lain di Asia atau Timur Tengah, cuti panjang tanpa gaji secara sukarela untuk meneruskan kerjaya lain atau kekal dalam Malaysia Airlines dan menunggu kekosongan jangka panjang dengan syarikat penerbangan lain.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Emirates Thierry Antinori berkata, syarikat penerbangan itu akan menjalin usaha sama dengan Tourism Malaysia untuk membawa pelancong dalam rangkaian globalnya, terutama Eropah, Afrika dan Timur Tengah, ke Malaysia menerusi hab Dubai.

Beliau berkata sasaran Emirates termasuk pelancong perniagaan dan santai dari tiga rantau berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada 150 destinasinya merentas 80 buah negara.

“Asia Tenggara terutama Malaysia berpotensi besar bagi Emirates, dan syarikat penerbangan kami mempunyai rancangan hebat di Malaysia meskipun wujud isu minyak dan gas dunia.

“Lokasi geografi Malaysia antara Singapura dan Bangkok merupakan pasaran yang sangat strategik untuk diteroka oleh Emirates,” kata Antinori.

Beliau berkata Emirates meraikan operasi ke 20 tahunnya di Malaysia tahun ini, dan setakat ini, lebih 730 daripada 56,000 pekerjanya terdiri daripada rakyat Malaysia, yang kebanyakannya berkhidmat sebagai krew kabin. – BERNAMA

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...