gambar hiasan
Dek kerana berasa ‘paranoid’ terhadap krisis ekonomi global yang melanda, seorang pesara jurutera mengambil tindakan menanam emas yang bernilai 850,000 pund (RM5.03 juta) di belakang rumahnya yang berukuran 2.02 hektar (4 kali padang bola) dengan menggunakan khidmat penggali.
Menurut Ketua Eksekutif The Pure Gold Company, Josh Saul, individu tersebut, Ron, mempunyai 18 anak perempuan dan cucu, telah membeli emas-emas itu antara November 2015 sehingga April sebelum menanamnya di 18 buah lokasi berbeza bagi setiap warisnya.
“Malah, Ron juga meminta emas itu hanya dihantar pada waktu cuaca cerah agar dia boleh menanam segera logam tersebut sejurus menerimanya,” ujar Saul.
Ron yang berusia 80-an itu juga telah memplot koordinat dan mencipta 18 versi unik peti yang mengandungi lokasi emas bagi setiap pewarisnya untuk mendapatkan emas itu.
gambar hiasan
“Peta tersebut akan diserahkan kepada semua ahli keluarganya. Ketika ini peta tersebut ada pada peguam untuk disimpan dengan selamat,” katanya.
Saul mendedahkan Ron berbuat sedemikian selepas harga komoditi itu meningkat sebanyak 17 peratus sejak awal tahun susulan kebimbangan terhadap kemerosotan ekonomi global termasuk kesan spekulasi pengunduran Britain dari Eropah.
Ron yang bersara pada usia 65 tahun telah mengumpul sejumlah wang dalam pasaran hartanah di United Kingdom (UK) dan Jerman, namun hilang sebahagian besar wang pencennya pada krisis 1980 sebelum mengumpul semula dan rugi lagi pada tahun 2008 menerusi pelaburan Lehman Brothers.
Warga emas itu menjual semua hartanahnya tahun lalu berikutan bimbang dengan pasaran hartanah.
“Ron memutuskan untuk menanam emasnya berbanding menyimpan di bilik kebal bank,” kata Saul.
Sumber : http://www.utusan.com.my