Sering memuat naik pelbagai luahan di akaun Instagramnya, ia mencetuskan sedikit salah faham dikalangan peminat penyanyi Elyana yang mengandaikan beliau sedang menghadapi masalah rumah tangga, lebih-lebih lagi Elyana jarang memuat naik foto suaminya di laman perkongsian gambar berkenaan.
Walaubagaimanapun, Elyana menafikan perkara berkenaan dan memberitahu setiap luahannya itu hanya sekadar perkongsian rasa serta emosi beliau pada sesuatu masa.
Saya berbintang Cancer dan boleh berubah emosi dalam sekelip mata walaupun ada kala isunya tidaklah sebesar mana. Oleh itu, janganlah ada yang salah faham dan mengaitkan perkara itu dengan perihal rumah tangga pula. Jika diikutkan, sejak dulu lagi saya jarang memuat naik gambar bersama keluarga, terutamanya suami.
Perkongsian saya di laman sosial kebanyakannya membabitkan perkembangan diri saya saja, cuma sesekali ada diselitkan keluarga. Tidak kisah apa yang ingin diperkatakan oleh orang ramai kerana saya tidak ambil pusing mengenainya. Apa yang penting, saya sentiasa menjadi diri sendiri.
Peminat kadang-kadang risau dan prihatin juga dengan artis kesayangan mereka. Alhamdullillah semuanya baik-baik sahaja. Kami doakan Elyana akan terus berbahagia bersama keluarganya sehingga ke syurga.