Penyanyi dan pelakon terkenal, Elyana, tampil berkongsi foto dirinya berkepala botak bukan untuk meraih simpati, sebaliknya bagi menyuntik semangat kepada para pejuang kanser yang sedang berjuang di luar sana.
Elyana menjelaskan bahawa perkongsian tersebut dilakukan dengan niat memberi kekuatan kepada pesakit lain yang sering meluahkan rasa takut kepadanya khususnya tentang perubahan penampilan selepas menjalani rawatan.
Itu foto sembilan bulan lalu ketika saya memang botak buat kali entah ke berapa. Baru sekarang saya kongsikan sebab mental saya sudah kuat.
Ramai wanita di luar sana yang takut untuk botak terutama selepas dapat tahu menghidap kanser dan perlu menjalani kemoterapi.
Menurut Elyana, ramai wanita berasa seolah-olah hidup mereka berakhir apabila rambut mula gugur, malah ada yang ditinggalkan suami atau hilang keyakinan diri lebih-lebih lagi bagi yang baru bergelar isteri atau ibu.
Mereka risau dan saya juga pernah merasai hal yang sama, tetapi saya mahu mereka sedar bahawa botak itu okey dan cantik sahaja.
Kalau saya boleh, kenapa orang lain tak boleh? Bukan sahaja wanita, lelaki pun meluahkan kerisauan tersebut sedangkan saya juga bergelut dengan penyakit sama.
Mengimbau kembali perjalanan hidupnya, Elyana berkata rambutnya mula gugur sejak rawatan kemoterapi pertama kira-kira 14 tahun lalu. Pada awalnya, dia sukar menerima kehilangan “mahkota wanita” itu dan hanya membiarkan rambut gugur sedikit demi sedikit tanpa berani mencukurnya.
Julai lalu, Elyana mengejutkan ramai apabila memuat naik foto dalam keadaan botak, sekali gus mencetus tanda tanya sama ada kanser yang dihidapinya kembali menyerang.
Namun, dalam satu temu bual selepas itu, Elyana menegaskan dia tidak lagi mahu berkongsi secara terbuka mengenai penyakitnya di media sosial selepas sering menerima komen negatif yang menjejaskan semangatnya untuk terus melawan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.