Penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein, memaklumkan dia tidak lagi berminat untuk bertanding atau dicalonkan dalam mana-mana program anugerah selepas ini, lapor mStar.
Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, berkata kejayaan meraih trofi Pengacara TV Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 sudah cukup memadai buat dirinya.
Menurutnya, keputusan ini dibuat kerana ingin memberikan ruang kepada rakan industri lain untuk meraih peluang yang sama.
Saya akan keluarkan kenyataan di Instagram mengenai pengunduran diri daripada sebarang pencalonan anugerah.
Alhamdulillah, saya sudah pernah merasa kemenangan sebelum ini. Kini saya mahu beri peluang kepada pengacara lain pula.
Elly berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram sekaligus menepis dakwaan kononnya dia sedang berkempen untuk edisi ABPBH akan datang.
Tambahnya lagi, sebagai seorang selebriti, apa yang lebih penting adalah sentiasa dekat di hati peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan sepanjang kerjaya seninya.