Isu Elly Mazlein yang ingin menuntut nafkah anaknya daripada bekas suami, Azmi Hatta masih belum menemui jalan penyelesaian. Sehingga hari ini, Azmi masih berdegil untuk menunaikan tanggungjawab itu seperti yang diarahkan oleh mahkamah.
Lebih mengecewakan lagi, Azmi juga tidak memberikan sebarang perbelanjaan untuk persiapan hari raya yang bakal tiba beberapa hari buat anak perempuan mereka, Putri Sara Sefhia.
Terbaru, Elly menerusi akaun Instagramnya membuat tuntutan tersebut terhadap bekas suaminya secara terbuka. Elly pada masa yang sama meningatkan Azmi untuk tidak kedekut dan berkira dengan darah dagingnya sendiri selain meluahkan rasa kesal terhadap pengarah drama itu yang melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengeluarkan perintah agar Azmi membayar nafkah bulanan kepada anaknya sebanyak RM1,500 pada 12 Oktober 2016. Namun, Azmi memberikan alasan beliau tidak mampu memberikan nafkah sebanyak itu kerana menanggung kos bulanan motor besarnya.