Muncul dengan single terbarunya, Jeritan Hati, penyanyi Elly Mazlein akui lagu berkenaan adalah gambaran kisah hidup beliau. Lagu itu dicipta oleh Manusia Putih manakala liriknya pula hasil nukilan komposer yang menghasilkan melodi Lelaki Teragung, Natasha.
Umum mengetahui, sebelum ini Elly pernah dihimpit kontroversi panas mengenai perceraiannya dengan pengarah Azmi Hatta dan ia menjadi cukup sensasi apabila ia turut mengaitkan nama pelakon, Faye Kusairi. Namun, baru-baru ini, Azmi dan Faye sudah pun mendirikan rumah tangga secara senyap.
Dengan kemunculan lagu tersebut, Elly memberitahu beliau sudah tidak kisah dikecam ataupun dikritik oleh netizen yang menganggap dirinya masih belum mahu melupakan kontroversi lama itu.
Biarlah mereka hendak berkata apa pun, saya iyakan saja. Lagipun, bukan saya yang meminta penulis lirik itu menceritakan kisah saya. Sebaliknya lagu itu sudah siap sepenuhnya ketika mereka menghantar rakaman demonya kepada syarikat rakaman saya.
Kadang-kadang, netizen ini lebih sudu daripada kuah bukan? Kita tidak tahu apa yang Elly Mazlein lalui sebelum ini dan bukan mudah juga seseorang untuk melupakan kisah luka yang lalu hanya dalam sekelip mata.