Sering memuat naik status serta hashtag berbaur sindiran terhadap bekas suaminya, Azmi Hatta, pelakon dan penyanyi Elly Mazlein memberitahu beliau sedikit pun tidak hirau dengan masyarakat yang mengkritik tindakannya itu.
Biarlah dianggap tidak matang sekalipun, Elly tetap tidak akan berhenti menuntut nafkah tertunggak daripada bekas suaminya itu demi masa depan anak perempuan tercinta, Putri Sara Sefhia. Tambah Elly, Azmi bukan sahaja culas dengan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa tetapi sudah lama tidak menjenguk anak mereka.
Saya tidak pernah menghalang mereka berjumpa. Bagi saya, anak itu pembawa rezeki. Jika kita melaksanakan amanah Tuhan dengan baik, saya percaya pintu rezeki akan terbuka lebih luas. Itu yang cuba saya pertahankan.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengeluarkan perintah supaya Azmi membayar nafkah bulanan kepada anaknya sebanyak RM1,500 pada 12 Oktober tahun lalu. Azmi dan Elly sah bercerai pada 15 Oktober 2015. Kemudian pengarah itu mendirikan rumah tangga bersama pelakon Faye Kusairi pada 9 April 2017.