Pelakon Ellie Suriaty memberikan tempoh sehingga April ini kepada pempengaruh Imran Bard untuk membuat permohonan maaf secara bersemuka berhubung dakwaan mencemarkan imejnya sebagai penggiat seni.
Memetik laporan Kosmo! Online, Ellie atau nama penuhnya Ellie Suriaty Omar, menegaskan bahawa jika tiada sebarang tindakan daripada Imran, dia tidak akan teragak-agak untuk membawa isu ini kepada pihak berkuasa bagi tindakan yang lebih tegas.
Saya tidak akan senyapkan benda ini. Perkara ini ada kaitan dengan masyarakat. Bila namanya pempengaruh, dia akan mempengaruhi masyarakat sama ada baik atau buruk.
Dalam hal saya ini lebih kepada buruk sebab saya terima mesej yang menggelarkan saya sundal, rupa buruk, pelakon sendu dan pelbagai konotasi negatif lain.
Sepatutnya dia jumpa saya sebelum bulan puasa tapi dia kata dia berada di kampung. Jadi, saya bagi tempoh hingga hari raya untuk dia datang jumpa saya. Kalau dia berdegil juga, saya serahkan pada Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) untuk tindakan lanjut.
Wang ringgit tak mampu bayar maruah
Dalam pada itu, pelakon itu memaklumkan wang ringgit tidak mampu untuk membayar maruahnya yang sudah tercalar akibat tindakan pempengaruh itu.
Selama tiga dekat saya bekerja keras untuk berada di kedudukan hari ini. Reputasi yang dibina selama ini tercalar disebabkan video yang dimuat naiknya itu.
Berapa nilai diri yang hendak diletakkan? Takkan nilai saya RM200,000, RM500,000 ataupun RM1 juta? Saya adalah anugerah Allah SWT.
Saya berpegang pada janjinya untuk mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku. Saya nak tengok tanggungjawab bagaimana yang dia nak ambil.
Ellie juga sempat memberi nasihat tentang adab meminta maaf yang tidak sepatutnya dilakukan melalui telefon.
Agama Islam tak ajar kita minta maaf melalui telefon. Kalau nak minta maaf, kena datang jumpa batang tubuh orang yang kita sudah sakitkan hatinya.
Kalau betul pun dia minta maaf, saya akan nilai sama ada dia ikhlas ataupun terpaksa sebab takut kena hentam.
Sebelum ini, pelakon itu menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa Imran yang didakwa telah mencalarkan namanya menerusi hantaran video di TikTok dengan kandungan berunsur fitnah.