Elakkan Dari Gigitan Nyamuk, Doktor Ini Kongsi Tips Memilih Penghalau Nyamuk. Jangan Salah Beli!

Trending

Elakkan Dari Gigitan Nyamuk, Doktor Ini Kongsi Tips Memilih Penghalau Nyamuk. Jangan Salah Beli!

Penularan wabak Zika semakin menjadi-jadi di negara ini, justeru itu kita seharusnya memandang serius untuk membendung masalah ini dari terus berlarutan dan elakkan lebih ramai lagi jadi mangsa.

Advertisement

Perkongsian dari Dr Zubaidi Ahmad mengenai tips memilih penghalau nyamuk, mungkin boleh dijadikan titik permulaan bagi kita dalam memastikan persekitaran rumah khususnya, berada dalam keadaan yang sihat, tanpa gangguan nyamuk pembawa virus zika. Mari kita amati penulisan beliau.

TIPS MEMILIH PRODUK PENGHALAU NYAMUK (MOSQUITO REPELLANT)

Kesan dari penularan kes jangkitan Zika di Malaysia, kami mendapat banyak pertanyaan mengenai penggunaan bahan-bahan yang boleh mengelakkan gigitan nyamuk. Ini menunjukkan kebimbangan yang tinggi di kalangan masyarakat berkaitan perkara ini.

Oleh kerana kami tiada ahli yang mempunyai kepakaran dalam bidang kaji serangga, kami cuba untuk menilai bukti-bukti keberkesanan produk penghalau nyamuk melalui hasil-hasil kajian sedia ada. Namun begitu kami suka untuk mengingatkan yang penggunaan produk produk tersebut tidak akan dapat menyelesaikan masalah penularan zika dan denggi sehingga ke akar umbi. Apa yang penting adalah tindakan kita menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes di sekililing kawasan tempat tinggal.

Terdapat banyak jenis produk yang dikatakan boleh menghalang gigitan nyamuk. Secara amnya ada dua kategori produk. Jenis yang pertama adalah losyen/cream/spray yang disapu di permukaan kulit. Jenis kedua adalah dalam bentuk alat seperti gelang atau sticker/patch yang ditampal di bahagian badan tertentu.

Produk juga bergantung kepada bahan aktif yang digunakan untuk menghalau nyamuk. Bahan aktif bagi penghalau nyamuk ini juga boleh dibahagikan kepada bahan sintetik dan bahan ekstrak tumbuhan.

Contoh bahan aktif sintetik:
1. Diethyltoluamide (DEET)
2. Picaridin
3. Ethyl butylacetylaminopropionate

Contoh bahan ekstrak tumbuhan:
1. Citronella
2. Eucalyptus
3. Peppermint

Oleh kerana terdapat puluhan produk di pasaran yang mengandungi pelbagai bahan aktif dan juga formulasi, agak sukar untuk mendapatkan jawapan tentang produk mana yang paling berkesan.

Secara teorinya, produk seperti losyen dan spray yang dipakai di atas kulit akan memberikan perlindungan yang lebih berbanding produk dalam bentuk gelang dan sticker/patch. Ini disokong oleh satu kajian yang menunjukkan penggunaan gelang hanya dapat mengurangkan nyamuk hinggap di kawasan tangan dan lengan sahaja (1). Ini menunjukkan walaupun bahan aktif pada gelang tersebut dapat menghalau nyamuk, ia tidak cukup untuk melindungi seluruh badan.

Bahan aktif juga memainkan peranan untuk perlindungan. Bahan aktif yang paling terbukti berkesan berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan adalah DEET (2,3). DEET juga telah diuji selamat dan tidak akan mendatangkan bahaya kepada pengguna sekiranya dipakai mengikut aturan. Bahan sintetik lain juga turut mempunyai bukti keberkesanan yang tinggi.

Bahan ekstrak tumbuhan juga didapati berkesan untuk menghalang gigitan nyamuk. Namun begitu, akibat dari kepalbagaian bahan dan formulasi, tidak dapat dipastikan secara jelas samaada ia setanding atau tidak dengan bahan aktif sintetik lain yang dicadangkan oleh Centers for Disease Control and Prevention (4). Kebanyakan kajian menunjukkan formulasi yang menggunakan ekstrak tumbuhan ini hanya memberikan perlindungan sekitar 30 minit sehingga 1 jam sahaja (5). Namun begitu harus diingatkan bahawa tempoh perlindungan ini sangat bergantung kepada formulasi dan mungkin berbeza antara satu produk dengan yang lain walaupun mempunyai bahan aktif yang sama.

Oleh yang demikian, saranan kami adalah:

1. Pilih produk dalam bentuk losyen dan spray untuk perlindungan yang lebih tinggi. Produk dalam bentuk gelang dan sticker/patch boleh digunakan sebagai perlindungan tambahan.

2. Sapukan losyen/spray ke bahagian kulit yang terbuka. Pastikan kulit kering dan bersih sebelum menyapu produk tersebut.
3. Sekiranya anda luka atau mempunyai masalah kulit, elakkan dari menyapu produk di kawasan tersebut.
4. Sesetengah orang mungkin alah terhadap bahan dalam produk. Kulit mungkin terasa pedih atau gatal. Sekiranya ia berlaku, cuci dengan air yang banyak dan hentikan penggunaannya.
5. Kebanyakan produk akan memaklumkan jangkamasa perlindungan bagi setiap kali aplikasi. Baca label produk dengan betul. Sapu semula produk sekiranya waktu perlindungan telah tamat.
6. Gunakan produk bila perlu sahaja. Sekiranya anda sudah berada di rumah, cuci kawasan yang disapu sehingga bersih.
Reference:
1: Webb & Russell, 2011. Do wrist bands impregnated with botanical extracts assist in repelling mosquitoes?
2: Beever, 2006. Mosquito repellent effectiveness: A placebo controlled trial comparing 95% DEET, Avon Skin So Soft, and a “special mixture”
3: Fradin MS, Day JF, et al. Comparative efficacy of insect repellents against mosquito bites.
5: Barnard, D.R. and Xue, R.D. (2004). Laboratory evaluation of mosquito repellents against Aedes albopictus, Culex nigripalpus, and Ochlerotatus triseriatus (Diptera: Culicidae).

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...