Penularan wabak Zika semakin menjadi-jadi di negara ini, justeru itu kita seharusnya memandang serius untuk membendung masalah ini dari terus berlarutan dan elakkan lebih ramai lagi jadi mangsa.
Perkongsian dari Dr Zubaidi Ahmad mengenai tips memilih penghalau nyamuk, mungkin boleh dijadikan titik permulaan bagi kita dalam memastikan persekitaran rumah khususnya, berada dalam keadaan yang sihat, tanpa gangguan nyamuk pembawa virus zika. Mari kita amati penulisan beliau.
TIPS MEMILIH PRODUK PENGHALAU NYAMUK (MOSQUITO REPELLANT)
Kesan dari penularan kes jangkitan Zika di Malaysia, kami mendapat banyak pertanyaan mengenai penggunaan bahan-bahan yang boleh mengelakkan gigitan nyamuk. Ini menunjukkan kebimbangan yang tinggi di kalangan masyarakat berkaitan perkara ini.
Oleh kerana kami tiada ahli yang mempunyai kepakaran dalam bidang kaji serangga, kami cuba untuk menilai bukti-bukti keberkesanan produk penghalau nyamuk melalui hasil-hasil kajian sedia ada. Namun begitu kami suka untuk mengingatkan yang penggunaan produk produk tersebut tidak akan dapat menyelesaikan masalah penularan zika dan denggi sehingga ke akar umbi. Apa yang penting adalah tindakan kita menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes di sekililing kawasan tempat tinggal.
Terdapat banyak jenis produk yang dikatakan boleh menghalang gigitan nyamuk. Secara amnya ada dua kategori produk. Jenis yang pertama adalah losyen/cream/spray yang disapu di permukaan kulit. Jenis kedua adalah dalam bentuk alat seperti gelang atau sticker/patch yang ditampal di bahagian badan tertentu.
Produk juga bergantung kepada bahan aktif yang digunakan untuk menghalau nyamuk. Bahan aktif bagi penghalau nyamuk ini juga boleh dibahagikan kepada bahan sintetik dan bahan ekstrak tumbuhan.
Contoh bahan aktif sintetik:
1. Diethyltoluamide (DEET)
2. Picaridin
3. Ethyl butylacetylaminopropionate
Contoh bahan ekstrak tumbuhan:
1. Citronella
2. Eucalyptus
3. Peppermint
Oleh kerana terdapat puluhan produk di pasaran yang mengandungi pelbagai bahan aktif dan juga formulasi, agak sukar untuk mendapatkan jawapan tentang produk mana yang paling berkesan.
Secara teorinya, produk seperti losyen dan spray yang dipakai di atas kulit akan memberikan perlindungan yang lebih berbanding produk dalam bentuk gelang dan sticker/patch. Ini disokong oleh satu kajian yang menunjukkan penggunaan gelang hanya dapat mengurangkan nyamuk hinggap di kawasan tangan dan lengan sahaja (1). Ini menunjukkan walaupun bahan aktif pada gelang tersebut dapat menghalau nyamuk, ia tidak cukup untuk melindungi seluruh badan.
Bahan aktif juga memainkan peranan untuk perlindungan. Bahan aktif yang paling terbukti berkesan berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan adalah DEET (2,3). DEET juga telah diuji selamat dan tidak akan mendatangkan bahaya kepada pengguna sekiranya dipakai mengikut aturan. Bahan sintetik lain juga turut mempunyai bukti keberkesanan yang tinggi.
Bahan ekstrak tumbuhan juga didapati berkesan untuk menghalang gigitan nyamuk. Namun begitu, akibat dari kepalbagaian bahan dan formulasi, tidak dapat dipastikan secara jelas samaada ia setanding atau tidak dengan bahan aktif sintetik lain yang dicadangkan oleh Centers for Disease Control and Prevention (4). Kebanyakan kajian menunjukkan formulasi yang menggunakan ekstrak tumbuhan ini hanya memberikan perlindungan sekitar 30 minit sehingga 1 jam sahaja (5). Namun begitu harus diingatkan bahawa tempoh perlindungan ini sangat bergantung kepada formulasi dan mungkin berbeza antara satu produk dengan yang lain walaupun mempunyai bahan aktif yang sama.
1. Pilih produk dalam bentuk losyen dan spray untuk perlindungan yang lebih tinggi. Produk dalam bentuk gelang dan sticker/patch boleh digunakan sebagai perlindungan tambahan.