Tidak mahu perkara sama seperti tahun lalu berulang kembali, pihak produksi Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) telah mengambil langkah berjaga-jaga apabila mereka telah mewajibkan kesemua finalis untuk menanda tangani satu surat perjanjian.
Penerbit Eksekutif AJL35, Nurhul Huda Khalid memberitahu bahawa langkah itu terpaksa diambil agar kesemua finalis dapat memahami dan mengikuti segala garis panduang yang telah ditetapkan pihak produksi.
Sehubungan dengan itu, dia berharap agar artis yang terlibat pada malam itu tahu apa perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat sepanjang malam majlis tersebut berlangsung.
Difahamkan, surat perjanjian itu telah dibuat pasukan guaman TV3 yang menggariskan beberapa perkara seperti larangan memasukkan isu politik dan keganasan dalam elemen persembahan serta pakaian yang bakal digayakan pada malam itu tidak boleh terlalu seksi dan mengghairahkan.
Tambah Nurhul Huda lagi, elemen kejutan serta gimik juga tidak dibenarkan untuk persembahan tahun ini.
“Macam tahun lalu, pihak kami memang tidak tahu akan ada elemen kejutan dan gimik seperti yang dibuat oleh sebuah kumpulan. Memang mereka tidak tunjukkan elemen tersebut pada sesi raptai penuh. Jadi untuk tahun ini, finalis yang bertanding perlu menunjukkan kesemua elemen yang akan dimasukkan dalam persembahan mereka agar tidak mencetuskan kontroversi seperti tahun lalu.”
Mengimbas kembali, persembahan Drama Band yang membawakan lagu Drama telah mencetuskan kontroversi apabila membawakan elemen cynical parody yang telah menerima kritikan daripada netizen. Selain itu, persembahan Aina Abdul turut menerima kecaman apabila busana yang digayakan penyanyi itu seolah-olah memberi gambaran seperti perbuatan bunuh diri.
AJL35 yang dijangka akan berlangsung pada 7 Februari ini di Auditorium MBSA, Shah Alam pada jam 9 malam dan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV3. Anugerah berprestij berkonsepkan nyanyian itu akan dikendalikan oleh pengacara terkenal iaitu Awal Ashaari, Sherry Alhahad dan Haziz Husni.