Hari demi hari kita merasa bimbang dengan kenaikan angka kes baharu COVID-19 di Malaysia. Penularan wabak tersebut sudah berada di tahap yang sukar untuk dikawal apatah lagi ada segelintir rakyat yang masih berdegil dan ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan.
Oleh itu, kita harus mengambil langkah proaktif untuk mengekang penularan wabak COVID-19 seperti yang dilakukan oleh seorang jurutera dari Terengganu iaitu Zamakhyari Khairiri, dimana dia sanggup memakai pakaian perlindungan diri (PPE) yang dibuatnya sendiri daripada beg plastik sampah, ketika mengunjungi sebuah pasar raya.
Tidak segan berpenampilan begitu, dia juga turut memakai topeng muka, becermin mata ala ‘google’ seperti orang yang ingin bermain ‘ski’ dan juga berkasut but diperbuat dari getah.
Meskipun ramai yang pandang pelik dengan “fesyen” uniknya itu, Zamakhyairi sedikit pun tidak ambil pusing dengan tanggapan orang lain, asalkan dia berasa selamat di tempat awam. Difahamkan, dia mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk lengkap memakai sut perlindungannya itu dengan bantuan anak-anak.
“Saya tidak kisah dengan keadaan ini, malahan merasa bangga kerana ia boleh menjadi satu cara berkempen, bagi mengingatkan orang awam akan langkah yang perlu dilakukan bagi membendung virus ini.
Tempat seperti ini (pasar raya) mempunyai potensi yang tinggi untuk terkena jangkitan virus itu (COVID-19), dan ini adalah ikhtiar kecil yang saya lakukan demi menjaga keselamatan keluarga dan orang sekeliling daripada virus itu.”
Tambah Zamakhyairi, setelah lapan hari patuh pada pelaksanaan PKP, hari Rabu lalu merupakan kali pertama dia keluar dari rumah untuk membeli barangan makanan dan keperluan keluarganya.
Sungguh tinggi kesedarannya mengenai bahaya virus COVID-19. Orang seperti ini menjadi contoh yang baik buat ramai diluar sana. Tidak salah kalau nak keluar beli barang tapi apa-apa pun, jaga keselamatan diri serta orang lain juga. Pakailah perlindungan yang sepatutnya dan jangan pula merayau ke tempat lain selepas itu.