Sebelum memulakan percutian, banyak perkara yang perlu disediakan antaranya pakaian, produk kesihatan diri, ubat-ubatan tiket penerbangan dan tempahan penginapan.
Selain itu, itinerari percutian juga sangat penting bagi memastikan perjalanan percutian berjalan dengan lancar dan teratur, serta memastikan kita tidak terlepas destinasi impian yang ingin dikunjungi.
Pada masa kini, ramai lebih cenderung untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, terutamanya apabila mereka pertama kali mengunjungi destinasi yang baru.
Tidak dinafikan, agensi pelancongan boleh dianggap sebagai ‘tempat bergantung’ ketika melancong ke tempat yang belum dikenali.
Walau bagaimanapun, kini banyak kes penipuan berlaku melibatkan agensi pelancongan, baik di dalam mahupun luar negara.
Oleh itu, sangat penting untuk korang melakukan pemeriksaan latar belakang syarikat pelancongan dan memastikan agen yang korang pilih mempunyai lesen yang sah.
Untuk pastikan agensi pelancongan yang korang pilih itu berdaftar dan sah, korang boleh semak melalui laman web rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
Ikuti langkah-langkah ini untuk memastikan kesahihan agensi pelancongan itu.
- Layari laman web Motac
Klik pada pilihan “Perkhidmatan” dan “Perkhidmatan Dalam Talian” yang disediakan.
- Pilih Semakan Agensi Pelancongan
Klik pada pilihan semakan “Agensi Pelancongan”.
- Masukkan nama atau nombor lesen agensi
Di ruangan “Senarai Lesen Pengendalian Pelancongan dan Agensi Pengembaraan (TOBTAB)”, masukkan nama agensi atau nombor lesen syarikat yang diberikan (sekiranya ada).
- Semakan status agensi
Kalau agensi tersebut berlesen, nama agensi itu akan muncul dalam senarai yang disediakan.
- Pilihan perbandingan harga
Kalau korang nak buat perbandingan harga antara beberapa agensi, korang boleh pilih negeri tanpa memasukkan nama syarikat. Motac akan memberikan senarai agensi pelancongan berlesen mengikut negeri yang korang pilih.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.