Elak Diserbu Penguatkuasa, Peniaga Kompleks Pertama Bergegas Tutup Premis

Trending

Elak Diserbu Penguatkuasa, Peniaga Kompleks Pertama Bergegas Tutup Premis

Rata-rata peniaga di Kompleks Pertama di sini bergegas menurunkan bidai besi premis dan meninggalkan kedai masing-masing sebaik sahaja melihat sekumpulan anggota penguat kuasa membuat serbuan mengejut hari ini.

Advertisement

Malah, sederet kedai alat telekomunikasi di kompleks itu juga dikosongkan dan ditinggalkan peniaganya bagi mengelak diperiksa pihak penguat kuasa.

Tindakan pantas itu seolah-olah mereka telah menghidu kehadiran anggota penguat kuasa dalam operasi bersepadu, ‘Ops Niaga’ yang diketuai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Biarpun begitu, 23 warga asing dipercayai dari Indonesia dan Bangladesh ditangkap kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta menyalahgunakan pas lawatan.

Ketua operasi yang juga Pengarah Pematuhan SSM Rezy Izwan Ramli berkata kesemua yang ditangkap sedang leka menjalankan aktiviti perniagaan seperti biasa di medan selera kompleks tersebut.

Beliau berkata operasi yang disertai 100 anggota itu turut merampas 88 mesin judi bernilai kira-kira RM380,000 daripada tiga premis berasingan, lapor FMT.

“Sebanyak 117 premis diperiksa hari ini dengan 98 daripadanya patuh dan 19 lagi didapati tidak mematuhi undang-undang di bawah akta yang dikawal selia oleh SSM.

“Antara kesalahannya seperti gagal mempamerkan sijil pendaftaran perniagaan dan papan tanda perniagaan serta tidak memperbaharui lesen perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.

Rezy Izwan berkata pihaknya turut merampas 12 telefon bimbit tiruan serta mengeluarkan tiga notis kompaun bernilai RM1,500 bagi kesalahan tidak mempamerkan tanda harga.

Katanya, kesemua premis berkenaan dikenakan notis pematuhan dan diberikan tempoh 14 hari bekerja bagi mematuhi kehendak undang-undang, dan sekiranya gagal premis berkenaan akan dikompaun dan berdepan tindakan mahkamah.

Ops Niaga kali ke-11 yang dilakukan selama dua jam itu turut melibatkan agensi berkaitan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Sementara itu, pereka grafik R.Gomathi, 27, berkata operasi itu perlu diadakan lebih kerap bagi membendung kebanjiran warga asing yang menguasai hampir seluruh kawasan di dalam kompleks berkenaan.

“Operasi ini juga mampu menjamin keselamatan orang ramai yang berkunjung ke sini dan ia akan mengurangkan kadar jenayah yang melibatkan warga asing itu,” katanya.

Perkara itu turut disokong Farah Wahida Saari, 26, yang menyifatkan aktiviti perniagaan yang melibatkan warga asing itu sudah semakin kritikal dan pihak berwajib perlu segera bertindak dan menyelesaikan krisis itu.

Katanya, orang ramai perlu peka dan mengelak untuk membeli barangan tiruan yang dijual secara haram itu dan perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...