Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang juga ejen pelancongan ditahan polis selepas disyaki mengugut dan mencederakan pasangan suami isteri ketika berada di Jepun, Januari lalu. Suspek diberkas di sebuah restoran di Sepang sekitar jam 5 petang tadi susulan laporan polis yang dibuat mangsa pada 28 Januari sebaik pulang ke tanah air.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan tangkapan tersebut dan menjelaskan bahawa siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap pengurusan pelancong ke Jepun.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, yang boleh dihukum penjara, denda, atau kedua-duanya,” katanya.
Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Sepang esok dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Mangsa kejadian, Noornabilla Azemi, 36, yang juga pemandu pelancong, mendakwa beliau dipukul, dihentak kepalanya ke besi katil, serta diugut bunuh oleh suspek semasa berada di sebuah rumah sewa di Jepun pada 24 Januari. Kejadian turut disaksikan oleh suaminya, Mohamad Zhaza Mohamad, 34, dan seorang lagi rakan mereka.
Menurut Noornabilla, mereka berada di Tokyo ketika itu atas urusan tugasan membawa kumpulan pelancong Malaysia. Suspek dikatakan tidak berpuas hati kerana pasangan tersebut didakwa ‘menceroboh’ kawasan pelanggan yang kononnya dimonopoli olehnya.
“Saya tak sangka dia sanggup bertindak ganas hanya kerana isu kawasan pelancong. Suami saya pun turut dipukul dan suspek merampas wang tunai 75,000 yen (anggaran RM2,300) serta mengarahkan kami pulang ke Malaysia,” katanya.
Kes ini turut membuka perhatian terhadap persaingan tidak sihat dalam industri pelancongan Malaysia di luar negara, khususnya di destinasi popular seperti Jepun.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.