Editor buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia yang mencetuskan kontroversi dilaporkan telah melarikan diri ke luar negara. Buku tersebut menjadi kontroversi apabila gambar kulit bukunya didakwa menghina Jata Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata lelaki warga tempatan itu didapati telah ke luar negara sejak 21 Jan lalu. Ia diketahui hasil daripada semakan melalui dokumen perjalanannya.
“Dia telah keluar Malaysia, namun kami tidak dapat memastikan keberadaan suspek serta lokasinya. Pihak JSJ telah menyenaraikannya sebagai Orang yang Dikehendaki dan akan ditangkap selepas dikesan.”
Menurut Huzir, pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Interpol dan akan mengeluarkan notis merah sekiranya suspek berjaya dikesan di mana-mana negara.
Polis sebelum ini telah merakam keterangan lapan daripada 28 penulis yang menyumbang artikel untuk buku itu, manakala bakinya masih lagi sedang dicari.
Siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Buku tersebut yang disunting penulis bernama Kean Wong itu mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara namun mengantikannya dengan objek lain yang diibaratkan telah menghina Jata Negara.
Ia mendapat kecamana dan menjadi tular di media sosial menyebabkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta parti politik membuat laporan polis. Mereka menggesa pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit.
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook & Twitter Amazingnara untuk mendapatkan berita sensasi dan terkini di seluruh dunia.