Pelakon Edika Yusof menyambut Hari Bapa baru-baru ini bersama bekas isterinya, Nor Hidayah Yusri, serta anak-anak mereka.
Menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram, Edika atau nama penuhnya Mohd Yusof Abd Majid, dilihat menikmati juadah bersama keluarga di sebuah restoran sempena sambutan tersebut.
Dalam kapsyennya, pelakon berusia 58 tahun itu menitipkan ucapan penghargaan kepada keluarga atas sambutan istimewa yang diberikan.
Mana-mana lelaki boleh menjadi bapa, tetapi memerlukan seseorang yang istimewa untuk menjadi seorang ayah. Seorang bapa diibaratkan seperti bintang, mungkin kita tidak selalu melihat mereka namun kita tahu dia sentiasa ada. Buat keluarga saya tercinta, terima kasih untuk sambutan ini.
Dalam satu lagi hantaran di Instagram Story, Edika turut memuat naik gambar bersama Hidayah yang memaparkan hubungan baik antara mereka.
Jika dia sering tersenyum kepada kamu, mungkin itulah petanda bahawa dia selesa dan suka berada di sekeliling kamu.
Meninjau ke ruangan komen, ramai warganet memuji kematangan hubungan antara Edika dan Hidayah walaupun sudah berpisah, malah ada yang mendoakan agar mereka kembali bersama sebagai suami isteri.
Terdahulu, Edika melafazkan cerai talak satu terhadap Hidayah pada 5 Mei lalu di hadapan Hakim Syarie di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Permohonan cerai difailkan Hidayah pada pertengahan Februari tahun ini.
Untuk makluman, pasangan ini telah mendirikan rumah tangga pada 16 Januari 2004 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq dan Fereena Nurulhaq.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.