Penyanyi dikir barat Kelantan yang baru dibebaskan selepas sembilan bulan di penjara, Eda Ezrin akui trauma untuk menjejakkan kaki ke Thailand selepas apa yang berlaku.
Trauma nak ke Thailand lagi
Kata Eda atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, trauma itu sangat mendalam sehingga dia berasa tidak akan pergi melancong mahu pun menerima tawaran membuat persembahan di negara itu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Sebelum ini pun, setiap kali berkunjung ke Thailand terutama Wilayah Narathiwat, saya hanya pergi untuk membuat persembahan sahaja. Saya bukan melancong semata-mata. Saya sangat trauma dan perasaan itu dirasai sehingga kini walaupun saya sudah kembali ke pangkuan keluarga.
Berhati hati untuk percaya kawan
Ditanya pengajaran paling besar buatnya selepas dibebaskan dari Penjara Wilayah Narathiwat pada 6 Ogos lalu, Eda berkata selepas ini dia akan lebih berhati-hati untuk mempercayai kawan.
Tambahnya, mencari kawan memang mudah namun sahabat sejati itu susah untuk ditemui malah sepanjang tempoh di penjara barulah dia sedar siapa kawan dan siapa sahabat.
Bila kita berada di fasa terendah, tiada kawan yang datang melawat. Bermula dari situ, saya belajar biar kawan sedikit, janji berkualiti. Malah, apa yang berlaku sehingga berada di penjara pun disebabkan kawan atas kawan.
Terdahulu, Eda dan suami serta empat rakannya dibebaskan dari Penjara Pusat Narathiwat selepas pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi dan bukti untuk merayu kes berkenaan.