Seringkali apabila bercerita tentang dunia lakonan, kita akan memandang serong kepada mereka yang berkecimpung di dalamnya. Antara tanggapan yang selalu diberikan ialah krew-krew dan para pelakon tak bersembahyang, kalau penggambaran waktu Ramadhan semua ponteng puasa dan para pelakon bebas bergaul sesuka hati. Senang cerita, lebih banyak persepsi negatif berbanding positif membabitkan mereka yang terlibat di dalam industri lakonan Malaysia.
Menariknya, Ummi Nazeera yang kini telah kembali aktif berlakon selepas penghijrahannya memaklumkan anggapan masyarakat tersebut adalah salah. Berkongsi pengalaman sendiri ketika berlakon drama Cik Puan Sinderella, para krew dan pelakon telah bersembahyang berjemaah sebaik sahaja azan berkumandang. Kata Ummi:-
Ramai yang menyatakan industri ini adalah sesuatu yang tidak sihat. Ditambah pula persepsi serong orang di luar sana mengenainya. Selepas berhijrah ke arah yang lebih baik, saya nampak banyak perubahan dalam industri lakonan. Sejujurnya, saya tidak nampak pun apa yang tidak sihat.
Sewaktu menjalani penggambaran telemovie, Cik Puan Sinderella, pengarah akan menghentikan seketika penggambaran untuk kami bersolat. Krew-krew juga akan berhenti bekerja seketika untuk solat berjemaah. Jadi, saya sendiri tidak faham apa yang teruknya tentang industri kita. Persepsi masyarakat itu sendiri yang memburukkan sisi baik dunia lakonan.
Itulah antara perkara yang yang membuatkan saya sedih dengan pemikiran masyarakat yang kerap kali melemparkan pandangan negatif. Mereka lebih nampak yang tidak baik daripada yang baik.
Terharu Abang Nara membaca pengalaman Ummi Nazeera. Memang jauh berbeza produksi dahulu dan sekarang. Secara jujur, Abang Nara pernah melihat dengan mata kepala sendiri para pelakon dan krew tidak berpuasa ketika menjalani penggambaran di bulan Ramadhan. Namun nampaknya semua itu sudah berubah. Alhamdulillah. Mungkin ini impak daripada penghijrahan ramai selebriti sejak kebelakangan ini. Semoga ia berterusan hendaknya. Sama-sama kita doakan. Sumber ManggaOnline.