Nama Riri Febriana, pelakon kanak-kanak yang pernah mencuri perhatian menerusi watak antagonis dalam drama-drama Indonesia terbitan Genta Buana, kini kembali menjadi sorotan namun kali ini bukan kerana lakonannya, tetapi kehidupan peribadinya yang penuh kontroversi.
Menurut laporan InsertLive, Riri dilaporkan telah mendirikan rumah tangga dengan pasangan sesama jenisnya, seorang DJ wanita bernama Rachel. Perkahwinan mereka difahamkan berlangsung di Thailand, negara yang membenarkan perkahwinan sejenis secara sah.
Sejak itu, pasangan ini tidak segan mempamerkan kemesraan dan aktiviti bersama secara terbuka di media sosial, walaupun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Riri mengenai perkahwinan tersebut.
Kehidupan Riri yang kini turut bergiat aktif sebagai DJ menambahkan lagi rentetan kontroversi yang menyelubungi dirinya. Apa yang mengejutkan ramai ialah perubahan drastik identitinya dari seorang wanita Muslim yang pernah berhijab sekitar tahun 2019, Riri dilaporkan membuka tudung pada tahun 2022.
Namun, kemuncak kontroversinya berlaku apabila dia membuat keputusan meninggalkan agama Islam. Pada tahun 2023, tular gambar Riri menjalani ritual pembaptisan di sebuah kolam sebagai tanda rasmi memeluk agama Kristian. Dia juga difahamkan telah menukar namanya kepada Felicya Gwyneth.
Perubahan besar dalam kehidupan peribadi Riri ini nyata mengundang pelbagai reaksi netizen — ada yang terkejut, tidak kurang juga yang meluahkan rasa kecewa terhadap haluan hidup yang dipilih bekas bintang cilik itu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.