Tempoh sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan telah mendisiplinkan rakyat Malaysia untuk duduk di rumah dan hanya keluar untuk urusan yang penting sahaja. Walau bagaimanapun, duduk terperuk di dalam rumah untuk satu jangka masa yang lama boleh menyebabkan seseorang itu menghadapi risiko untuk mengalami ‘cabin fever’.
Cabin fever disebut sebagai satu keadaan di mana seseorang berasa sedih yang berpanjangan kerana terasing dengan dunia luar. Seseorang yang mengalami simptom ini juga berasa seolah-olah dirinya sudah terputus hubungan dengan dunia sebenar.
Salah sorang pemilik akaun Facebook, Nurul Izzati Jusoh telah berkongsi pengalaman ketika mengalami cabin fever. Dia yang tidak keluar rumah selama lebih 20 hari ketika tempoh PKP menghadapi perasaan gelisah keterlaluan dan degupan jantung yang laju. Ini antara simptom yang ditonjolkan apabila seseorang itu menghidapi cabin fever.
Cuba untuk positifkan diri
Dalam perkongsian tersebut, simptom cabin fever mula dikesan olehnya setelah 20 hari berada di rumah. Sebelum itu setiap hari ketika berada di rumah, Nurul Izzati akan memastikan dirinya sentiasa tampil cantik dan ceria. Dia akan memakai pakaian untuk ke tempat kerja dengan mengenakan sedikit solekan di wajahnya. Wangian juga turut dipakai untuk menaikkan mood ceria.
Cara ini dilakukan untuk memastikan dirinya tidak tertekan kerana perlu berada di dalam rumah dan menjaga anak-anak sedangkan suaminya keluar sebagai sukarelawan untuk menjalankan misi bantuan.
Makin hari, dirinya seperti meraung dan merintih di dalam hati kerana keinginan untuk keluar rumah. Namun terhalang kerana arahan PKP, bimbang keadaan di luar sana dan memikirkan keselamatan anak-anak yang berada di rumah tanpa penjaga.
Perasaan ingin memarahi suami dan anak-anak semakin membuak-buak dirasakan pada ketika itu. Sentiasa berasa gelisah, jantung berdegup laju dan kesukaran untuk tidur pada waktu malam turut dialami olehnya. Setiap hari, dia hanya boleh melelapkan mata ketika waktu sudah menginjak ke pukul 2 atau 3 pagi. Pada saat itulah Nurul Izzati berpendapat bahawa dirinya perlukan bantuan.
Secara diam, Nurul Izzati mengambil ujian Depression Anxiety Stress Scales (DASS) secara dalam talian. Meskipun Malaysia Relief Agency (MRA) ada menyediakan bantuan psikologi dan khidmat kaunseling, namun Nurul Izzati tidak mahu menggunakan khidmat tersebut secara sewenangnya.
Mula dapatkan bantuan
Nurul Izzati mula berbincang dengan suami berkenaan masalah yang sedang dihadapi. Suaminya mula untuk memahami dan membuat beberapa temu janji dengan pihak kaunselor. Akhirnya simptom yang dinyatakan oleh Nurul Izzati memenuhi kriteria simptom cabin fever.
Simptom ini boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira jantina dan umur. Sekiranya tidak mendapatkan bantuan awal mungkin cabin fever bakal meletakkan seseorang dalam tahap tekanan yang teruk atau lebih parah lagi mengalami depresi.
Ambil berat tentang perkembangan kesihatan mental setiap orang meskipun perlu berada di dalam rumah sepanjang masa. Namun, sebagai rakyat Malaysia kita harus akur dengan arahan kerajaan untuk memastikan wabak COVID-19 tidak merebak dengan lebih dahsyat.