Polis menahan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) susulan insiden seorang lelaki ditemukan meninggal dunia ketika melakukan aktiviti mendaki di Gunung Liang, Muallim, Tanjong Malim, semalam.
Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari berkata, dua individu berusia 40-an ditahan selepas polis menerima laporan JPN Perak berhubung kesalahan memasuki hutan simpan di sempadan Perak tanpa permit sah.
Menurutnya, kumpulan pendaki yang diketuai dua malim gunung berkenaan hanya memiliki permit pendakian dari Jabatan Perhutanan Negeri Pahang kerana mereka memulakan perjalanan dari Bentong, Pahang.
Kumpulan pendaki ini naik daripada sebelah Pahang di Bentong namun mereka turun di sebelah Perak di daerah Muallim.
Tangkapan terhadap dua malim gunung ini dibuat kerana mereka hanya ada permit memasuki hutan simpan di Pahang, tetapi turun dan memasuki kawasan hutan simpan di Perak tanpa kebenaran.
Beliau menjelaskan bahawa tangkapan tersebut dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak atas kesalahan memasuki atau berada di kawasan hutan simpan tanpa permit atau kelulusan yang sah.
Sepatutnya mereka turun di daerah yang sama tempat mereka naik untuk elak kesalahan, tetapi apabila kumpulan itu turun di sebelah Muallim (Perak), maka mereka dikira memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit.
Terdahulu, Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, memaklumkan bahawa mangsa, Mustaqqeem Mansoor, 34, dari Sungai Petani, Kedah, ditemui meninggal dunia sekitar jam 3.30 petang semalam di puncak Gunung Liang Barat, Muallim.
Mangsa kali terakhir dilihat bersama seorang rakan di puncak Gunung Liang Barat pada 14 Oktober sekitar jam 10.30 malam, dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan. – Harian Metro
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.