Dua Konsert Percuma Di Jalan Raja Bersempena FMKL 2013 Hujung Minggu Ini

Hiburan

Dua Konsert Percuma Di Jalan Raja Bersempena FMKL 2013 Hujung Minggu Ini

Festival Muzik Kuala Lumpur (FMKL) 2013 kali ini dilaksanakan sepenuhnya di sekitar Jalan Raja, Kuala Lumpur (hadapan Dataran Merdeka) pada 6 dan 7 Julai (Sabtu dan Ahad) ini.

Memasuki tahun penganjuran kesembilan, aktiviti utama FMKL 2013 ialah konsert yang menampilkan persembahan kumpulan-kumpulan muzik dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura melalui Konsert 3 Negara “A Night With Life Record”.

Advertisement

Konsert ini menampilkan kumpulan-kumpulan dari Malaysia yang dikira nama besar dalam industri muzik tempatan seperti kumpulan XPDC, Subculture, Dead Mushroom, Project Pistol, Keroz serta beberapa individu seperti Awang BPR, Andy Flop Poppy, Zarina Al-Qhadry, Loka, Qayyum Mazlan, dan bakat yang dicungkil dari YouTube, Nana Sheme.

Penghibur yang dibawakan khas dari Indonesia untuk memantapkan konsert ini ialah Jenita Janet dan Pentaboyz, manakala Singapura diwakili oleh persembahan dari Daly Filsuf, Iskandar Ismail dan J. Yantzen dari kumpulan Rusty Blade.

Konsert ini juga bakal diserikan dengan kehadiran penghibur Jepun, Miss Juli.

Acara kedua yang menerajui FMKL buat kali ini ialah Konsert Rohani yang bakal menampilkan Ramli Sarip, Nash serta kumpulan nasyid Rabbani, Raihan dan Hijjaz pada 7 Julai (Ahad) di Pentas Utama, Jalan Raja mulai 8.45 malam.

Acara FMKL juga bakal menampilkan elemen keilmuan muzik iaitu Bengkel Muzik FMKL 2013 yang mengetengahkan pemuzik berkaliber untuk berkongsi ilmu dengan pemuzik-pemuzik amatur dan orang ramai. Mereka ialah Jeffrey Yong yang akan memberikan ceramah mengenai cara untuk membina instrumen muzik dari kayu Malaysia pada 6 Julai mulai 2.00 – 4.30 petang.

Seterusnya Steve Thornton akan memberikan ceramah tentang teknik bermain Jimbe pada 5.00 petang – 7.00 malam manakala pemuzik profesional dari New Zealand, Dylan Elise memberikan ceramah berkenaan teknik bermain dram pada keesokan harinya (7 Julai) dari pukul 2.00 – 3.00 petang. Borang penyertaan boleh dimuat turun dari laman sesawang, http://www.jkkn.gov.my/

FMKL pada tahun ini juga akan meneruskan pencungkilan bakat dalam bidang muzik melalui beberapa aktiviti iaitu Uji Bakat Pertandingan Nyanyian Lagu Melayu Antarabangsa (PALMA) 2013 yang akan dilaksanakan di Panggung Bandaraya pada 6 Julai, dari 10.00 pagi hingga 1.00 petang.

Memasuki tahun penganjuran ketiga, PALMA 2013 memberi ruang dan peluang kepada para pelajar luar negara untuk bertanding dan mempamerkan bakat menyanyikan lagu Melayu dengan baik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi di samping mempopularkan lagu-lagu ciptaan komposer Malaysia di luar negara.

Aktiviti kedua di bawah elemen pencungkilan bakat ialah Bakat Muzik Malaysia yang menampilkan pertandingan seperti Pertandingan Muzik Tradisional dan Pertandingan Muzik Eksperimental yang bakal dilangsungkan pada 6 Julai di dua pentas iaitu Pentas 2 dan Pentas 3, Jalan Raja. Pertandingan dijalankan secara serentak dari 10.00 pagi – 4.00 petang.

Turut diserlahkan di bawah elemen pencungkilan bakat ialah Battle of Drums, sebuah pertandingan teknik bermain dram yang dianjurkan oleh JKKN dan diselia oleh JS Music. Pertandingan ini bakal berlangsung pada 7 Julai di Panggung Bandaraya, dengan peringkat Separuh Akhir dilaksanakan pada 11.00 pagi – 1.00 petang diikuti dengan peringkat Akhir pada pukul 4.00 – 6.00 petang. Ia menjanjikan hadiah wang tunai dan set dram kepada para pemenang.


Mengisi aktiviti untuk FMKL 2013 ialah Ekspo Muzik. Ekspo ini mengetengahkan pelbagai aktiviti muzik berkonsepkan setempat atau Kampung Muzik (Music Village) yang penuh dengan kemeriahan dan interaktif di samping usaha menyuntik nilai ekonomi dengan mengkomersialkan produk seni dan budaya. Pelbagai aktiviti pameran dan jualan diadakan sebagai pusat penyebaran informasi dan promosi produk berkaitan industri muzik. Ekspo Muzik akan bermula jam 11.00 pagi hingga 11.00 malam pada 6 dan 7 Julai.

Mari bersama meriahkan FMKL 2013!

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...