Antara momen yang mencuri perhatian dunia pada Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini adalah adegan atlet dari Korea Utara yang mengambil gambar ‘selfie’ bersama atlet Korea Selatan di podium.
Tindakan itu menerima pujian ramai dari seluruh dunia namun dianggap telah melanggar protokol ideologi yang ketat mengikut undang-undang Korea Utara.
Ri Jong Sik dan Kim Kum Yong iaitu atlet sukan ping pong Korea Utara telah mendapat kritikan daripada Parti yang menganggap mereka bersikap terlalu mesra dengan ‘musuh utama’ negara, Korea Selatan.
Difahamkan, para atlet Korea Utara kini sedang berdepan dengan sesi siasatan ideologi yang ketat di Pyongyang termasuk pegawai Jawatankuasa Olimpik Korea Utara sejak mereka pulang dari temasya sukan tersebut.
Nasib kedua-dua atlet ping pong itu masih belum diketahui, sama ada mereka akan dikenakan hukuman berat atau sekadar diberi amaran keras serta arahan untuk melakukan penilaian diri secara mendalam.
Para atlet dan pegawai ini akan melalui proses totalisasi yang berlangsung dalam tiga peringkat utama iaitu:
Peringkat pertama: Parti Pusat akan fokus kepada tindakan dan tingkah laku mereka sepanjang penyertaan di Olimpik
Peringkat kedua: Prestasi atlet akan dinilai oleh Kementerian Sukan
Peringkat ketiga: Para atlet perlu kritik diri sendiri dan rakan pasukan termasuklah mendedahkan tingkah laku yang dianggap salah semasa di Olimpik Paris 2024.
Ini adalah langkah untuk memastikan semua kesilapan dikenalpasti dan dibetulkan secara terbuka.
Sekiranya mereka melanggar sebarang arahan seperti berkomunikasi dengan atlet dari Korea Selatan atau negara lain mereka akan dikenakan hukuman yang tegas.
Manakala, atlet yang menunjukkan prestasi cemerlang mungkin akan diberikan penghargaan tetapi buat mereka yang gagal memenuhi harapan pula berisiko menghadapi kritikan atau hukuman seperti kerja tanpa gaji.