Hari ini episod terakhir drama Utusan Cinta Buat Adam bakal ditayangkan. Diadaptasi daripada novel dengan tajuk yang sama, drama ini menampilkan Kamal Adli, Puteri Aishah dan Sharifah Sakinah sebagai tunjang utamanya. Ditayangkan di slot Akasia setiap Isnin – Jumaat pada jam 7 malam di TV3, lakonan Puteri Aishah dan Sharifah Sakinah di dalam drama ini berjaya membuatkan netizen terbuai-buai dengan emosi geram, marah, sedih serta gembira.
Ha mari kita baca sedikit sinopsis drama Utusan Cinta Buat Adam ini yang mempunyai 28 episod:-
Mengisahkan Aireen Husna (Puteri Aishah), seorang arkitek yang sering kali ternampak Adam Firdaus di masjid yang selalu dikunjunginya. Aireen jatuh hati pada Adam walaupun tidak dapat mengenali siapa Adam sebenarnya. Aireen mengimpikan calon suami yang beriman dan mendambakan cinta setulus cinta Rasullah dan Siti Khadijah. Kagum dengan kesungguhan Siti Khadijah untuk memiliki Rasullulah, Aireen mula merisik siapakah Adam dan terus melamarnya.
Adam binggung menerima lamaran daripada Aireen. Desakan daripada Tok Wan (Kartina Aziz) yang mahu Adam berkahwin dengan Liyana (Sharifah Sakinah) tidak menyenangkan Adam. Namun akhirnya, Adam memilih untuk menerima lamaran Aireen.
Persetujuan Adam mengahwini Aireen menggembirakan semua ahli keluarga kecuali Tok Wan yang merasakan Adam menderhaka. Tok Wan marah Adam menolak pilihannya. Kemarahannya semakin memuncak apabila Adam dan Aireen tetap disatukan walaupun puas dia menghalang. Aireen menganggap Adam menerimanya kerana kasihan tetapi pendirian Adam pula berbeza. Adam inginkan satu hubungan yang lebih diredai iaitu selepas mereka disatukan.
Di hari pernikahan mereka, Adam tidak sangka gadis yang sudah beberapa kali ditemuinya itu ialah isternya, Adam sangat gembira kerana dia memang sudah jatuh hati pada Aireen. Walaupun Adam dan Aireen bukan berkahwin atas dasar cinta, mereka saling lengkap melengkapi dan menjalani fasa baharu dengan penuh kasih sayang.
Ketika perkahwinan mereka menjengah tiga bulan, Aireen masih belum mengandung. Tok Wan mula campur tangan dan menyuruh Aireen membuat pemeriksaan kesuburan. Aireen didapati mempunyai masalah untuk hamil dan terpaksa menjalani rawatan kesuburan jika mahu hamil. Aireen kecewa tetapi Adam tetap tenang dan bersetuju agar Aireen melalui sesi rawatan seperti yang dinasihatkan oleh ibu mertuanya.
Tok Wan semakin membenci Aireen sebaik mengetahui perkara tersebut. Dia mendeasak Adam berkahwin lagi tetapi Adam tidak bersetuju. Aireen juga tegas menghalang. Sakit hati dengan penolakan Adam dan bantahan Aireen, Tok Wan semakin berang. Setelah dihasut oleh Liyana, Tok Wan mula mengunakan ilmu hitam untuk memisahkan Adam dan Aireen. Bahagaimanakah Adam dan Aireen mempertahankan mahligai cinta mereka?
Untuk makluman, setiap kali drama ini ditayangkan, ia pasti akan menjadi trending di media sosial. Ternyata netizen menggemari drama ini kerana ia lain dari yang lain. Ini kerana drama ini mempamerkan kisah kehidupan yang berlaku di dalam hidup orang Melayu, bukan sekadar kisah kahwin cerai, anak orang kaya suka perempuan miskin, pembantu rumah jadi kekasih atau bapak bos syarikat 350,000 pekerja. Senang cakap, drama ini memang dekat dengan hati para penontonnya dan banyak pengajaran yang boleh kita belajar.
Paling mengujakan, lakonan Puteri Aishah dan Sharifah Sakinah sebagai Liyana Lundang memang benar-benar menjadi. Kita akan terasa kagum dengan kecekalan Puteri Aishah menghadapi segala cabaran dan dugaan yang mendatang. Sementara itu kejahatan Liyana Lundang memang buat kita geram, rasa nak lempang dan insaf. Pelakon-pelakon lain pun tak kurang hebatnya tetapi nama Sharifah Sakinah dan Puteri Aishah confirm bertambah dikenali dan diingati selepas persembahan hebat mereka di dalam drama ini.
Jadi hari ini, jangan tertinggal untuk menyaksikan episod akhir drama Utusan Cinta Buat Adam. Dengar cerita ada watak yang akan mati? Siapa? Sama-sama kita nantikan.