Drama Cinta Ibadah Persenda islam & Rendahkan Mentaliti Penonton?

Hiburan

Drama Cinta Ibadah Persenda islam & Rendahkan Mentaliti Penonton?

Drama Cinta Ibadah adalah drama terpanjang di Malaysia dengan episodnya mencecah sehingga 130. Pelakon-pelakon untuk drama ini juga bukan calang-calang orangnya. Ada Aishah Ilias, Fattah Amin, Shery Ibrahim, Raja Ilya dan Hisyam Hamid. Satu ketika dahulu drama ini pernah menjadi bualan kerana ada babak Raja Ilya memegang telefon terbalik. Kali ini drama ini sekali lagi membikin kontroversi kerana pengisiannya dianggap mempersendakan Islam dan merendahkan mentaliti para penonton.

drama cinta ibadah

Advertisement

Abang Nara akui tidak mengikut drama Cinta Ibadah ini namun satu artikel pada hari Ahad lalu oleh Miss J memang wajar untuk dikongsikan dengan anda semua. Memang tidak masuk akal sebenarnya jalan cerita Cinta Ibadah ini. Mana tidaknya, seorang isteri yang menghidap sakit barah telah mengupah seorang wanita lain untuk menyamar sebagai dirinya, sekaligus adanya seks luar nikah kerana si suami tidak menyedari penyamaran tersebut. Abang Nara petik sikit kata-kata Miss J untuk tatapan anda:-

Miss J fikir hanya orang kurang siuman sahaja yang mungkin boleh menonton drama Cinta Ibadah hingga selesai. Dan komen-komen dalam laman forum selari dengan Miss bahawa drama ini substandard, tidak wajar disiarkan. Dalam episod yang Miss J tonton, seorang isteri yang mengidap barah mengupah seorang wanita lain yang “sebiji” macam wajah dia supaya menyamar sebagai dia.

Menyamar masih okey lagi tetapi bila menyamar sebagai isteri kepada suaminya, dan suami pula tidak boleh membezakan sama ada isterinya atau perempuan lain, ini drama paling mengarut dalam sejarah dunia. Bayangkan anda tidak tahu sama ada orang di sisi anda sekarang benar-benar isteri atau suami anda. Sengkek sangatkah penonton Malaysia hinggakan drama seburuk itu pun disajikan kepada mereka? Penonton Indonesia mungkin boleh, tetapi di Malaysia maaf ya, pemikiran kami tidak begitu.

Bagi Miss J drama yang judulnya macam Islamik tetapi mempersendakan agama Islam apabila si isteri sanggup mengupah orang lain berlakon sebagai dia kepada suaminya. Kalau namapun suami isteri sudah tentulah ada hubungan suami isteri dan si suami tolol itu tidak perasan bahawa itu bukan isterinya.

Kita letak ke tepi dulu soal logik. Isu yang besar di sini drama Cinta Ibadah menganjurkan seks tanpa nikah dengan alasan terlalu menyayangi suami dan sanggup mewujudkan situasi sekedudukan dalam kalangan orang Islam. Inilah yang mahu dipromosikan oleh Cinta Ibadah yang menganjurkan penyelesaian yang bukan sahaja tidak Islamik tetapi mempersenda Islam.

drama cinta ibadah

Semenjak dua menjak ini drama Melayu terutamanya yang diadaptasi dari novel memang tidak masuk akal dan logiknya tidak boleh diterima. Malah para penonton juga telah meluahkan rasa kurang selesa dan kepelikan dengan jalan cerita drama Cinta Ibadah ini. Kadangkala tertanya juga sama ada drama di Malaysia ini tidak ditapis sehingga jalan cerita sebegini boleh dipertontonkan kepada umum. Sedikit sebanyak ia memberi impak kepada masyarakat, lebih-lebih remaja yang menonton. Apa pendapat anda? Sumber Utusan Malaysia.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...