Hasrat Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek untuk menyelesaikan tuntutan harta sepencarian secara damai tidak kesampaian apabila bekas suaminya, penyanyi Ahmad Nubhan Ahmad, gagal hadir ke proses sulh di Pejabat Sulh, Mahkamah Syariah Seremban pada Khamis.
Mesra disapa Dr Fie, wanita berusia 36 tahun itu mengakui terkejut dengan ketidakhadiran bekas suaminya kerana proses sulh sepatutnya menjadi ruang terbaik untuk mencapai persefahaman demi kebajikan anak-anak mereka.
Menurut Dr Fie, beliau tidak mahu kemelut yang berlaku antara mereka memberi kesan kepada emosi serta keperluan anak-anak, lebih-lebih lagi apabila sesi persekolahan semakin hampir.
Memetik laporan Sinar Plus, Dr Fie berkata sebagai bekas isteri, beliau dan anak-anak berhak mendapatkan tempat tinggal yang selesa.
“Kenapa perkara ini berlaku ketika sekolah nak dibuka tidak lama lagi? Anak-anak nak ke sekolah, kami tiada tempat tinggal. Buku sekolah bagaimana?
“Semua maklumat sudah saya hantar kepada dia, tetapi langsung tiada respons,” luahnya.
Dalam perkembangan sama, doktor gigi itu mendedahkan kehidupannya kini agak tidak terurus apabila terpaksa menumpang di rumah keluarga selain berdepan kekangan ruang untuk menyimpan barangan peribadi.
Ditanya mengenai wang dan barangan kemas yang didakwa hilang di rumah yang didiami mereka sebelum ini, Dr Fie berkata sehingga kini ia masih belum ditemui, namun enggan mendedahkan nilainya.
Sementara itu, peguam Dr Fie, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff memaklumkan pihaknya hanya mengetahui ketidakhadiran Nubhan sebaik tiba di mahkamah.
“Namun, kegagalan defendan untuk hadir menyebabkan matlamat sulh tidak dapat dicapai,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Sembilan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
