Memaklumkan bahawa dirinya merancang untuk melangsungkan majlis pernikahan pada tahun hadapan, pelatih pakar bedah, Dr Amalina menyatakan tarikh pernikahannya itu masih belum boleh diberitahu kepada umum lagi.
Perkara itu dikongsi sendiri oleh Amalina menerusi Instagram Story miliknya sebagai menjawab soalan pengikutnya di media sosial itu.
“Kami merancang (berkahwin) pada tahun depan. Tarikh (majlis), biarlah rahsia.”
Lebih menarik, Amalina dan pasangan difahamkan merancang untuk mengadakan dua tema berbeza bagi majlis resepsi di United Kingdom (UK) dan Malaysia.
“Tema di UK, taman atau perkahwinan ala countryside. Tema di Malaysia, fairytale, east meets west.”
Terdahulu, Amalina mengumumkan dirinya kini sudah bergelar tunangan kepada seorang jejaka Inggeris pilihan hatinya.
Malah, beliau juga dilihat tidak segan memaklumkan bahawa dirinya kini sangat teruja untuk membuat persiapan perkahwinan yang akan diadakan di dua buah negara tersebut.
Bagaimanapun, sehingga kini, identiti sebenar tunangnya itu masih lagi menjadi tanda tanya umum.
Tahniah sekali lagi diucapkan, moga segala perancangan Amalina dan bakal suami dipermudahkan oleh Illahi.