Harga makanan kegemaran rakyat Malaysia menunjukkan lonjakan ketara sejak 13 tahun lalu, menurut laporan Analisis Indeks Harga Pengguna (CPI) Tahunan 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Laporan itu memberi tumpuan kepada peningkatan kos barangan dan perkhidmatan, terutamanya dalam kategori makanan dan minuman yang merupakan komponen terbesar dalam perbelanjaan isi rumah di negara ini.
Antara kenaikan yang paling mencuri tumpuan ialah nasi lemak yang mencatat peningkatan 81.3 peratus, daripada RM2.03 sepinggan pada tahun 2011 kepada RM3.68 pada tahun 2024.
Roti canai turut mengalami kenaikan sebanyak 71.1 peratus, dari 90 sen kepada RM1.54 sekeping, manakala harga sate ayam meningkat lebih dua kali ganda iaitu sebanyak 113.7 peratus, daripada 51 sen kepada RM1.09 sebatang.
Selain itu, laporan tersebut turut merekodkan kenaikan ketara bagi beberapa bahan mentah terpilih.
Harga bawang besar yang diimport dari India melonjak sebanyak 139.4 peratus, daripada RM2.89 kepada RM6.92 sekilogram, sementara daging lembu tempatan naik 98.6 peratus, daripada RM19.05 kepada RM37.84 sekilogram.
Kenaikan paling mendadak dicatatkan oleh kerang, yang meningkat sebanyak 400.3 peratus, daripada RM3.04 sekilogram pada tahun 2011 kepada RM15.21 pada tahun 2024.
Barangan asas lain seperti santan segar dan kelapa parut masing-masing meningkat sebanyak 56.2 peratus dan 60.8 peratus, kini berharga RM11.54 per kilogram dan RM8.33 per kilogram, berbanding RM7.39 per kilogram dan RM5.18 per kilogram pada tahun 2011.
Walaupun terdapat kenaikan harga bagi barangan individu, DOSM menjelaskan bahawa kadar inflasi keseluruhan negara telah mencatatkan penurunan selama dua tahun berturut-turut, di mana masing-masing 1.8 peratus pada tahun 2024 dan 2.5 peratus pada tahun 2023.
Laporan itu turut menyatakan bahawa kadar inflasi Malaysia selari dengan trend global, berdasarkan data daripada World Economic Outlook Database terbitan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada April 2025, yang menganggarkan inflasi global pada kadar 5.7 peratus bagi tahun 2024 dan 6.6 peratus bagi tahun 2023.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.