Sebelum ini, beberapa media antarabangsa melaporkan Kim Jong Un, pemerintah Korea Utara sedang berada dalam keadaan yang kritikal selepas menjalani pembedahan pada 12 April yang lalu. Desas desus itu tercetus selepas dia tidak menghadirkan diri di dalam sambutan ulang tahun datuknya, Kim Il Sung pada 15 April.
Namun, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis lalu menafikan laporan bahawa pemimpin Korea Utara Kim Jong-un berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan. Trump turut mendakwa laporan yang dikeluarkan oleh CNN itu adalah berdasarkan laporan kesihatan lama tentang Kim Jong Un.
“Saya rasa laporan itu salah. Saya harap ianya adalah laporan yang salah.”
Trump memberikan kenyataan itu ketika ditanya oleh para wartawan ketika sidang media di White House semalam. Semasa berita mengenai keadaan Kim Jong Un dilaporkan kritikal dikeluarkan, Trump mendoakan yang terbaik untuk rakan pemimpinnya itu. Trump bagaimanapun tidak menyatakan sama ada beliau ada berhubung dengan pegawai di negara itu walaupun pernah menyatakan hasrat untuk berbuat demikian.
Tambahnya lagi, Amerika Syarikat mempunyai hubungan yang baik dengan Korea Utara. Begitu juga hubungan dia dan Kim Jong Un, oleh itu dia mengharapkan pemimpin Korea Utara itu berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Setakat ini, masih tiada sumber rasmi mengenai keadaan terkini Kim Jong Un walaupun perkara ini telah mendapat perhatian media antarabangsa.
Menerusi laporan daripada CNN sebelum ini, Kim Jong Un dilaporkan menerima pembedahan prosedur kardiovaskular. Tetapi kesihatannya terjejas kerana kuat merokok, obes dan terlalu kuat bekerja. Seorang pemberita agensi NBC Katy Tur melaporkan di akaun Twitter bahawa Jong Un “mati otak” susulan pembedahan itu, namun dia telah membuang tweet berkenaan.