Doktor Sahkan Serbuk Arang Tidak Putihkan Gigi, Nipiskan Enamel

Trending

Doktor Sahkan Serbuk Arang Tidak Putihkan Gigi, Nipiskan Enamel

Sekarang ini berlambak betul produk pemutihan gigi yang berasaskan arang dijual di pasaran. Kalau sebut bab ini mesti anda tergiang-ngiang satu iklan yang viral oleh seorang usahawan terkenal. Tidak payahlah kami sebut siapa, memang semua orang tahu. Heh..

Advertisement

Siapa yang tidak mahu gigi putih kan? Boleh nampak lebih cantik dan penuh keyakinan, tapi tahukah anda tiada kajian saintifik membuktikan arang ini berkesan untuk memutihkan gigi.

Perkara itu disahkan sendiri oleh doktor gigi, Dr Nur Sakinah Amran. Penjualan serbuk arang sebagai agen pemutihan gigi hanyalah satu ‘trend’ yang menjadi viral dan cuma taktik untuk peniaga melariskan lagi produk mereka sahaja.

Arang dipercayai mempunyai mekanisme seperti magnet untuk menarik serta memerangkap kotoran pada gigi. Apabila seseorang itu berkumur, secara teorinya kotoran terbabit akan keluar bersama. Gigi hanya boleh nampak lebih bersih, tetapi tidak boleh putih seperti didakwa kerana serbuk arang tidak mempunyai apa-apa bahan aktif yang boleh membantu memutihkan gigi.

Molekul serbuk arang sangat kasar dan bersifat menghakis. Kajian menunjukkan, penggunaan seawal empat kali sudah boleh menipiskan enamel gigi, sedangkan lapisan itu penting untuk melindungi dentin, selain lapisan ketiga iaitu pulpa selaku pusat saraf gigi.

Malah, penggunaan serbuk arang yang berpanjangan boleh merosakkan dan menipiskan lagi enamel gigi.

Lapisan dentin secara asalnya lebih kuning berbanding enamel. Apabila enamel menipis ia tidak akan terbentuk semula dan dentin yang kuning akan berterusan terdedah. Ia menyebabkan dentin mula menyerap warna kelabu dari serbuk arang menyebabkan gigi bukan saja tidak putih, malah menjadi kelabu kekuningan.

Fungsi arang sebenarnya sama seperti kayu sugi iaitu untuk membersihkan gigi, bukannya memutihkan. Penggunaannya juga tidak boleh berlebihan kerana ia turut berisiko menipiskan lapisan enamel.

Jadi kepada anda yang hendak gigi putih itu lebih baik mendapatkan khidmat daripada pakar. Jangan mudah terpedaya dengan iklan dan produk-produk diluar sana.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Dr Nur Sakinah di Facebook Klinik Pergigian Iman.

Sumber Berita : Berita Harian

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...