Doktor Jalankan Inisiatif ‘Donate A Mask’ Untuk Atasi Masalah Kekurangan Bekalan Perubatan

Trending

Doktor Jalankan Inisiatif ‘Donate A Mask’ Untuk Atasi Masalah Kekurangan Bekalan Perubatan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan Malaysia kini sedang menghadapi bekalan Pakaian Pelindung Diri (PPE) yang sekadar mencukupi untuk kegunaan semua petugas kesihatan di negara ini. Keperluan PPE untuk masa sekarang amatlah penting kerana itu merupakan ‘uniform’ wajib petugas kesihatan dalam mengendali pesakit COVID-19.

Baca: KKM Dedah Malaysia Mempunyai Stok Bekalan PPE Untuk Dua Minggu Sahaja Lagi 

Advertisement

Sut PPE terdiri daripada gaun, tudung, sarung tangan, pelindung muka, apron dan topeng muka sebagai pelindung daripada terdedah terhadap risiko jangkitan. Berikutan peningkatan penggunaan PPE meningkat sebanyak 10 kali ganda semenjak wabak ini menyerang negara kita, PPE masih lagi diperlukan dalam jumlah yang banyak sehingga hari ini.

sumbangan topeng muka

Sementara menunggu mendapatkan bekalan yang lebih stabil, beberapa kumpulan petugas barisan hadapan telah memulakan insiatif sendiri, ‘Donate A Mask’. Doktor, jururawat, ahli fisioterapi dan pelajar perubatan dari Seremban telah memulakan usaha mengumpul derma berbentuk topeng muka dan PPE daripada orang ramai untuk disumbangkan sebagai kegunaan petugas perubatan.

Idea ini dicetuskan oleh Dr Naren Selva yang bertugas di Klinik Kesihatan Lukut, Port Dickson kerana beliau juga ditugaskan untuk mengambil sampel individu yang disyaki (PUI) mempunyai jangkitan virus COVID-19, hampir setiap hari.

Dr Selva

Menurutnya, permohonan seperti topeng muka dan sarung tangan akan mengambil sedikit masa untuk diuruskan KKM. Petugas kesihatan menghadapi risiko yang lebih tingi untuk dijangkiti virus ini. Daripada mengeluh tidak menerima bekalan topeng muka dan sebagainya, Dr Naren Selva memulakan inisiatif ini untuk membantu petugas barisan hadapan semampunya.

Sukarelawan ‘Donate A Mask’ berkunjung rumah ke rumah untuk mengumpul derma

Inisiatif ini bagaimanapun telah mendapat kelulusan khas untuk menjalankan pengumpulan derma topeng muka ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kerja-kerja sukarelawan ini dilakukan sejurus habis waktu bekerja atau ketika hujung minggu.

Tidak dinafikan kerja ini menggunakan keringat yang banyak namun ini sahaja yang mampu dilakukan untuk membantu petugas barisan hadapan. Tidak terbalas jasa petugas perubatan yang tiap hari berhadapan dengan pesakit positif COVID-19 selama berjam-jam. Kutipan derma ini tidak menerima sebarang sumbangan wang ringgit atau bekalan makanan. Hanya sumbangan topeng muka atau sarung tangan yang diperlukan ketika ini.

sumbangan topeng muka

Baru dua minggu dilancarkan, pasukan sukarelawan ini mampu mengumpul 15,000 jumlah topeng muka.

Penerimaan sumbangan sebanyak ini sangat disyukuri. Ini menunjukkan rakyat Malaysia masih bersatu untuk memerangi wabak COVID-19 bersama-sama petugas barisan hadapan. Rakyat Malaysia juga sangat pemurah dan mungkin disebabkan faktor PKP menjadi penghalang mereka untuk melakukan derma.

sukarelawan 'Donate A Mask'

Beberapa lokasi zon merah seperti Hospital Tunku Jaa’far Seremban, Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Pejabat Kesihatan Daerah Seremban telah menerima sumbangan topeng muka yang dikumpulkan.

Meskipun kumpulan sukarelawan ini berpusat di Seremban, Selangor dan Kuala Lumpur, penderma dari negeri lain juga digalakkan menghubungi mana-mana ahli sukarelawan untuk menyumbang sebarang peralatan perubatan. Tiada jumlah minimum yang ditetapkan.

Pasukan sukarelawan ini membuat hebahan menerusi laman Facebook dan aplikasi WhatsApp. Apabila penderma sudah membuat pengesahan sumbangan mereka, sukarelawan akan datang ke rumah untuk mengambil barang tersebut.

Sumber 

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...