Penyanyi yang diberi jolokan ‘Raja Gelek’, Datuk M.Daud Kilau dilaporkan semakin uzur setelah diuji dengan pelbagai komplikasi penyaki kronik sejak empat tahun yang lalu.
Dia yang kini berusia 82 tahun dikhabarkan sedang menghidap penyakit kencing manis, jantung dan kurang pendengaran. Malah, beliau juga sudah tidak boleh berdiri lama, kebas kaki dan tangan serta sakit pinggang.
Datuk M. Daud Kilau yang ditemui media semasa sesi menziarah turut sempat menitipkan pesanan buat peminat di luar sana yang masih mengingati dirinya.
“Saya doakan peminat panjang umur dan murah rezeki. Doakan saya cepat sembuh, jika tak baik tak apa. Kalau saya ‘pergi’, doakan saya selamat pergi dan sedekahkan al-fatihah,”
M Daud atau nama sebenarnya Muhammad Daud Kilau yang terbaring sakit berkata, dia kini tidak lagi memenuhi undangan persembahan sejak jatuh sakit.
“Nak berjalan pun sudah tak larat dan solat atas bangku. Saya kini bergantung dengan ubat. Saya kena buat pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Bagan Datuk tiga bulan sekali. Saya banyak menghabiskan masa dan sisa hidup mencari saham akhirat,”
Bertanyakan mengenai sumbangan yang diperolehi, M. Daud Kilau mengakui banyak menerima bantuan daripada peminat, rakan-rakan artis dan juga agensi kerajaan.
Dalam pada itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Sirih Pinang itu berkata dia amat merindui untuk beraksi di pentas dengan menggayakan baju-baju labuci yang berkilauan.
“Saya sayang dan merindui peminat. Jika kesihatan sudah baik, insyallah akan memenuhi undangan dan bertemu mereka. Hari ini, saya rasa seperti penyakit hilang separuh kerana ramai yang datang melawat dan membawa rezeki. Syukur, saya tidak dapat membalas budi baik,” – Datuk M. Daud Kilau
Sumber : Berita Harian Online