Rasanya semua sedia maklum bahawa terdapat khabar angin yang bertiup kencang mengatakan bahawa rumah tangga Dato’ Aliff Syukri dan Datin Shahida sudah pun retak menanti belah.
Tak cukup dengan itu, berterbangan pula cerita bahawa mereka sudah pun mengemukakan surat tuntutan cerai sehingga mengejutkan ramai netizen.
Pun begitu, usahawan terkenal ini telah memuat naik entri di laman Instagramnya bagi merungkai segala persoalan orang ramai selepas sekian lama menghilangkan diri.
Menurut lelaki itu, dalam tempoh dia berjauhan dengan keluarga selama 4 bulan, dia menggunakan peluang tersebut untuk muhasabah diri supaya dapat menjadi manusia yang soleh dan lebih matang daripada sebelumnya.
Sedar bahawa ramai yang menunding jari dan menuduh dia hanya mencari publisiti murahan, tapi Aliff Syukri bertegas bahawa ia adalah salah satu dugaan dalam berumah tangga. Pasti ada pasang dan surutnya.
Selepas melalui semua itu, usahawan tersebut berjanji akan meletakkan keluarga sebagai keutamaan dan sedar bahawa mereka adalah segalanya dalam kehidupannya. Aliff Syukri juga tidak lupa meminta orang ramai dapat mendoakan kesejahteraan keluarganya.
Rata-rata pengikut melahirkan rasa syukur apabila lelaki itu kembali ke pangkuan keluarganya pada bulan Ramadan yang mulia ini dan berharap bahawa pasangan tersebut membuang yang keruh dan mengambil yang jernih sahaja.