Umum pasti tahu bahawa PKP di seluruh negara sepanjang 12 Mei hingga 7 Jun ini telah membataskan pergerakan rakyat termasuklah aktiviti ziarah-menziarahi ketika sambutan Hari Raya Aidifitri.
Susulan itu, pihak polis juga akan membuat rondaan di rumah-rumah yang mempunyai banyak kereta misalnya bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Nak dijadikan cerita, baru-baru ini kecoh di aplikasi TikTok mengenai satu video yang menunjukkan banyak kereta dan motosikal di pekarangan sebuah rumah banglo dua tingkat ketika sambutan Aidilfitri. Apa kes?
Atas rasa tanggungjawab selepas dikatakan melanggar prosedur operasi standard SOP Aidilfitri, pemuda ini juga menjelaskan bahawa kereta tersebut kepunyaan adik-adik dan keluarganya yang tinggal di satu rumah.
Macam yang korang tahu, beberapa hari sebelum ketibaan 1 Syawal, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan ziarah rumah ke rumah sempena sambutan Aidilfitri tahun ini tidak dibenarkan.
Pun begitu, pemuda yang dikenali Mohamad Muzakkir Azman ini menjelaskan bahawa dia memang tinggal bersama ibu bapa dan enam lagi adik-beradiknya di Kota Bharu, Kelantan.
“Sejak awal Ramadan lalu, malah sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lagi, kami satu keluarga tinggal serumah. Ia merupakan tradisi keluarga kami setiap tahun”
Lapor pemuda ini kepada Mstar, ibunya suka anak-anak duduk sekali walaupun ada yang sudah berkahwin dan mempunyai anak. Pada masa sama, mereka adik-beradik juga suka berkumpul bersama.
Tambah usahawan kosmetik ini, rumah tersebut didiami oleh 18 ahli keluarga termasuk dirinya dan ibu bapanya, adik-beradik, ipar dan lima anak saudara berusia antara enam bulan dan tujuh tahun.
Lelaki yang turut dikenali sebagai Oppa berkata, sebenarnya tidak timbul isu keluarganya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri yang tidak membenarkan ziarah dari rumah ke rumah kerana mereka terlebih dahulu tinggal serumah sebelum pelaksanaan PKP lagi.
Oppa yang mengusahakan bisnes kosmetik berkata, jumlah ahli keluarga yang ramai tinggal di bawah satu bumbung memberi banyak kelebihan selain penjagaan rumah sentiasa terjamin.
“Memang meriah bila ramai-ramai tinggal satu rumah. Lebih-lebih lagi ada budak-budak kecil, riuh-rendah jadinya. Memang seronok dapat beraya bersama”
Macamtu rupanya, patutlah ramai. Meriah betul kalau duduk sekali ni! Apa-pun, semoga kita semua terlindung dari penularan wabak covid-19 ini ya. Tetaplah jaga SOP dan elakkan lah kawasan yang sesak.