Seorang lelaki yang berusia 29 tahun bertindak membakar rakannya sendiri di sebuah rumah tidak bernombor di Alor Gajah, Melaka selepas menuduh rakannya mencuri telefon bimbit kekasihnya. Hal ini menyebabkan mangsa melecur di bahagian tangan, leher dan bahagian belakang badan selepas disimbah petrol lalu membakar mangsa.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu, sebelum kejadian mangsa diarahkan oleh seorang lelaki dikenali sebagai Aki datang ke rumahnya untuk menuntut hutangnya dan didapati suspek juga turut berada di rumah berkenaan sambil mereka menghisap syabu.
Dalam pengaruh dadah, suspek menuduh mangsa mencuri telefon bimbit kekasihnya dan mengarahkannya untuk mengembalikannya semula.
“Suspek mengarahkan mangsa masuk ke dalam bilik dan menyimbah petrol ke badan mangsa sebelum menyalakan pemetik api lalu melontarkan ke arah mangsa”
Mangsa sempat menyelamatkan diri dengan masuk ke bilik air untuk memadamkan api berkenaan.
Hasil siasatan mendapati suspek mengambil petrol daripada gergaji rantai rumah berkenaan dan menyimbahnya ke tubuh mangsa.
Suspek bertindak melarikan diri dan kini mangsa mendapat rawatan di Hospital Alor Gajah dan akan dipindahkan ke Hospital Melaka.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mendatangkan kecederaan parah.