Pelawak dan pelakon yang kini aktif berpolitik, Shahrol Shiro menyangkal dakwaan sebuah akaun Twitter yang menuduhnya pernah ditamatkan kerja sebagai pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana terbabit dengan najis dadah.
Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi ketika dihubungi Harian Metro berkata tuduhan tersebut sangat keterlaluan kerana ia membabitkan reputasi agensi kerajaan itu serta nama baiknya.
Kata Shahrol, dia akan mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan perkara sama tidak akan berulang lagi dan sudah bersedia untuk menerima segala bentuk ‘serangan’ rentetan daripada dakwaan pengguna Twitter terbabit.
Saya tak kisah kalau ada individu yang ingin menegakkan fahaman politik masing-masing, namun, ini adalah serangan peribadi membabitkan nama baik saya dan juga agensi kerajaan.
Jelasnya, dia berhenti kerja di JIM mengikut prosedur yang sepatutnya dan bukan kerana isu dadah.
“Saya terus terang, sewaktu berkhidmat dulu, saya bersih daripada sebarang rekod buruk dan saya berhenti pun kerana mendapat tawaran dalam dunia seni.” ujarnya.
Shiro juga memaklumkan bahawa usai sahaja tugasnya di JIM, dia masih lagi dijemput beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Penjara Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk memberi perkongsian.
Terdahulu, Shahrol ada memuat naik tangkap layar ciapan pengguna Twitter yang menggunakan nama @kuhaslinda_a1 yang mendakwa Shahrol terbabit dengan dadah dan pernah ‘digam’ kerana masalah disiplin.