Seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di Pengkalan Chepa di sini retak tulang leher dipercayai ditendang oleh pelajar senior.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 4 petang itu, Aiman Hazim Zulkeflee mendakwa dia ditendang di leher dan dagu sehingga terjatuh sebelum pengsan oleh pelajar pelajar tingkatan empat di sekolah yang sama.
Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa oleh pihak sekolah sebelum dia dirujuk di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Bapa mangsa, Zulkeflee Yaacob, 40, seorang pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim menerima makluman mengenai kejadian itu dari isterinya, Siti Noor Sidin Ahmad, 43.
“Saya bergegas pulang ke Kota Bharu untuk melihat keadaan anak saya.
“Sebelum ini dia ada ada memaklumkan tidak mahu ke sekolah, tetapi saya tidak menyangka kejadian seperti ini berlaku ke atas anak saya,” katanya sebagaimana lapor BH Online.
Satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.
Kata beliau juga anaknya itu seorang pendiam dan tidak pernah melakukan kesalahan atau melanggar disiplin sekolah.
“Jika anak saya salah, saya rela anak dibuang sekolah tapi kalau sebaliknya, saya mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku berkenaan,” katanya.