Baru-baru ini, Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) mengejutkan ramai apabila memuat naik satu hantaran di akaun rasmi X mereka, yang memaparkan sekeping gambar mengandungi tiga keping duit syiling Malaysia.
Apa yang menarik perhatian ramai bukan hanya kerana syiling itu berasal dari Malaysia, tetapi juga kerana setiap keping mempunyai lakaran yang cukup pelik dan sukar difahami.
Artifact of the Week: Coins Left at the Statue of Nathan Hale
Learn more: https://t.co/bhyUFYvkDC pic.twitter.com/koqZCPQZtS
— CIA (@CIA) July 15, 2025
Pada duit syiling 20 sen, terdapat lukisan seperti orang lidi dengan simbol ‘S’ di kepala. Duit syiling 10 sen pula tertera tulisan misteri yang tidak dapat dikenalpasti, manakala syiling 5 sen kelihatan mempunyai kesan tapak kaki haiwan.
Bagaimanapun, CIA turut mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan asal-usul syiling tersebut. Menurut mereka, syiling itu merupakan antara barangan yang sering ditinggalkan di patung Nathan Hale , individu yang dianggap sebagai pegawai perisikan pertama Amerika Syarikat.
Hale dihukum mati pada 22 September 1776 ketika berusia hanya 21 tahun kerana menjadi perisik semasa Perang Revolusi Amerika.
“Muzium CIA secara berkala mengumpul semua wang yang ditinggalkan di patung Hale,” jelas mereka.
Dana yang dikumpulkan itu kemudiannya akan disalurkan kepada Yayasan Memorial Pegawai dan Yayasan Pilihan Ketiga, sebagai bantuan kepada pegawai yang tercedera, keluarga mereka serta keluarga pegawai yang terkorban ketika bertugas.
Walaupun misteri di sebalik lakaran pada syiling tersebut masih belum terjawab, tindakan CIA berkongsi gambar itu nyata berjaya menarik perhatian rakyat Malaysia malah membuka perbincangan menarik tentang bagaimana barangan sekecil duit syiling boleh menempuh perjalanan sejauh itu dan berakhir di lokasi yang penuh simbolik di Amerika Syarikat.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.