Satu peristiwa menyayat hati terjadi di Kecamatan Babelan, Kabupaten Bekasi, Jawa Barat. Seorang pemuda maut dibakar orang ramai kerana disangka telah mencuri pembesar suara di sebuah masjid.
Bagaimanapun, pemuda itu kemudiannya didapati hanya mangsa salah sangka dan fitnah penduduk tempatan kerana pembesar suara di masjid itu masih terletak di tempat asalnya.
Rakaman dan gambar kejadian itu menjadi viral pada Selasa, 1 Ogos 2017. Tribune News melaporkan, pada mulanya, pemuda yang bekerja sebagai pembaiki televisyen hendak bersembahyang Asar di masjid Desa Muara Bakti.
Dia membawa bersama pembesar suara miliknya ke dalam masjid semasa bersembahyang kerana takut barang itu hilang jika dibiarkan terletak di motosikalnya.
Malangnya, pemuda itu yang dirujuk sebagai MA, disangka telah mencuri pembesar suara di masjid itu.
Dia menjadi sasaran kemarahan orang ramai. Walaupun cuba melarikan diri ke kampung Muara Bakti yang terletak bersebelahan, dia dikejar oleh orang ramai yang berang.
Dia kemudiannya dipukul di kepala sehingga pengsan sebelum disiram dengan minyak petrol seterusnya dibakar hidup-hidup oleh orang ramai.
Video kejadian itu boleh ditonton di bawah:
Tiada siapa yang membantu pemuda itu. Dia kemudiannya maut akibat luka melecur yang parah di tempat kejadian.
Bedah siasat mendapati dia mengalami lecur pada 80 peratus tubuhnya.
Keluarga pemuda itu termasuk isterinya yang sedang hamil tujuh bulan hanya mampu menerima kematiannya kerana mereka berasal dari keluarga kurang berkemampuan.
Polis telah merampas pembesar suara dan motosikal pemuda itu untuk siasatan lanjut dan kini sedang memburu suspek-suspek yang terlibat dalam serangan terhadap mangsa.- amazingnara.com