Baru-baru ini, pemenang Artis Baharu Lelaki Popular, Chubb-E telah disamakan dengan tukang cuci oleh pengacara sensasi, Azwan Ali ataupun lebih dikenali sebagai Diva AA dalam kalangan peminat.
Meskipun begitu, Chubb-E atau nama sebenarnya Muhammad Sharul AG Ashrul Affandy,21, mengakui tidak berasa hati kerana sedar dirinya baru sahaja dikenali meskipun sudah hampir tujuh tahun berada dalam industri seni.
Chubb-E berkata lagi, dia sedar ramai yang tampil mempertahankan dirinya dan merasakan apa yang dikatakan Diva AA itu sebagai keterlaluan namun dia tidak mengambil serius mengenai perkara itu.
“Jujur memang saya tak terasa hati langsung dan tak ambil serius walaupun ramai yang kata dia tidak sepatutnya kata macam tu pada saya. Saya dan keluarga hormat beliau kerana dia orang lama dalam industri dan jauh berpengalaman serta hebat. Jadi logiklah kalau dia tak kenal saya. Mungkin bila timbul isu macam ni, ia akan jadi salah saatu jalan untuk saya kena dia dengan lebih rapat lagi.”
Mengimbas kembali, Azwan Ali menerusi ruangan Twitter miliknya bertanyakan kepada peminat siapakah gerangan artis yang memenangi trofi Artis Baharu Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 baru-baru ini. Dia malah menyamakan penampilan dan wajah Chubb-E seperti seorang tukang cuci.
Hanya menganggap sebagai lumrah sebagai seorang anak seni, Chubb-E tidak mahu ambil peduli dengan kecaman seperti itu namun bukan beerti dirinya sombong.
Asalkan tidak menjejaskan rezeki dan peminat masih lagi berpaling kepadanya, bekas peserta program Dansa Dan Sing ini mengakui pintu rezekinya semakin meriah dan perjalanan kariernya semakin mendapat sambutan, tidak seperti dulu.
Sumber : mStar Online