August 23rd, 2016

Minggu lepas, konsert pertama AF2016 telah berlangsung dan kali ini Alif Satar diberikan tanggungjawab untuk menjadi pengacara bersama Zizan Razak.

Malam tersebut, nama Alif Satar menjadi trending di Twitter kerana ramai sekali yang memuji cara beliau mengacara dan ada yang menganggap Alif lebih baik sebagai seorang pengacara berbanding Zizan.

Namun, Alif memberitahu beliau sebenarnya tidak pernah berniat untuk membayangi Zizan dan hanya menjalankan tugas yang diberikan.

Tiada istilah nak ‘bunuh’ Zizan, tak mungkin. Tak ada niat langsung untuk fikir sampai ke tahap itu. Lagipun waktu saya diberitahu untuk jadi pengacara AF2016, memang saya tidak tahu langsung siapa pasangan saya.

Bila kita  bekerja dengan orang yang sangat berbakat dan senang nak terima pendapat, kerja itu akan jadi lebih seronok. Sebab itu saya kata tidak ada terfikir langsung tentang hal tersebut. Saya hanya menjalankan tanggungjawab dan secara jujurnya Zizan banyak membantu.

Buat Alif bukan mudah untuk menjadi pengacara di pentas besar seperti AF2016. Alif akui sehingga hari ini beliau masih bertanya adakah beliau layak untuk mengacarakan program realiti berkenaan.

AF2016 merupakan satu pentas yang sangat besar. Bila ditawarkan untuk jadi pengacara, perasaan takut itu memang tak boleh dinafikan. Siapa yang tak kenal AF? Tipulah kalau kata ada yang tak pernah dengar mengenai Akademi Fantasia.

Jadi pengacara AF ini memang mencabar, tengok sahajalah barisan pengacara terdahulu seperti Datuk Aznil, Datuk AC, Sarimah Ibrahim dan sekarang Zizan, semuanya nama-nama besar. Sampai saya masih tertanya-tanya layakkah saya jadi pengacara AF? Sehingga ke hari ini saya masih lagi rasa tak percaya yang saya adalah hos AF2016.

Walaubagaimanapun, Alif meluahkan rasa syukur apabila penonton boleh menerima cara pengacaraan beliau. Alif berkata beliau akan cuba memperbaiki kelemahannya dan memberikan yang terbaik pada masa akan datang.

Sumber Berita : Astro Gempak


Comments are closed.

Loading...