Seorang warga emas sanggup datang dari Perlis ke Kedah semata-mata untuk membeli ubat sakit mata yang disangkakan dijual oleh pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar, selepas terpedaya dengan video promosi yang dihasilkan melalui teknologi AI lip-sync.
Menurut pentadbir Facebook rasmi Ustaz Wadi, kejadian itu amat menyedihkan kerana video iklan tersebut kelihatan seolah-olah ustaz sendiri yang bercakap mempromosikan produk tersebut.
“Nenek itu beritahu dia menonton video iklan AI tersebut (dan percaya) adalah benar daripada ustaz, padahal ia palsu,” jelas pihak pentadbir.
Lebih membimbangkan, bukan hanya ubat mata ramai lagi individu turut menghubungi pihak ustaz untuk mengadu bahawa produk seperti aprikot, ubat sakit lutut, ‘air nabi’ dan beberapa barangan lain tidak sama seperti yang dipromosikan.
Menurut kenyataan itu, teknologi AI digunakan bagi menyelaraskan pergerakan bibir dengan suara palsu sehingga video kelihatan sangat meyakinkan.
Walaupun sebahagian produk itu memang wujud dan sampai ke tangan pembeli, tetapi Ustaz Wadi tidak pernah menjual atau mempromosikannya. Semua iklan itu adalah palsu dan dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Pihak Ustaz Wadi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak sumber rasmi sebelum mempercayai mana-mana iklan yang menggunakan wajah atau suara tokoh agama.
Kepada pihak yang membuat scam ini, ingatlah menipu orang lain tidak mendatangkan kebaikan dan keberkatan. Hentikan perbuatan ini.
Mereka juga berharap masyarakat lebih berhati-hati dengan penipuan menggunakan teknologi AI yang semakin mudah memperdaya golongan rentan, terutamanya warga emas.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
