Baru-baru ini, viral video seorang peminat wanita yang meluru ke atas pentas dan memeluk penyanyi muda As’ad Motawh. Bagaimanapun, reaksi As’ad yang terlalu ‘cool’ membuatkan netizen mendakwa ia sekadar gimik.
Namun, As’ad berkata insiden itu berlaku diluar jangkaan dan tidak mungkin akan mengupah dan mempergunakan seorang wanita berhijab untuk melakukan perkara itu yang hanya akan mencemarkan nama baik agama Islam.
Tidak mungkin saya buat gimik. Jika benar sekalipun, saya tidak akan sesekali mempergunakan wanita bertudung kerana ia mencemarkan nama baik Islam. Apa yang berlaku tempoh hari adalah di luar jangkaan. Saya tidak sangka perkara itu akan terjadi, walaupun sejak awal lagi saya sedar tingkah laku remaja itu agak agresif.
Saya perhatikan gelagatnya yang begitu teruja sebaik saya memulakan persembahan. Saya anggap itu sebagai tindakan luar kawalan peminat tegar.
As’ad mengakui beliau rasa bersalah serta kasihan apabila melihat wanita itu dibawa turun oleh pengawal keselamatan.
Hebat betul penangan As’ad sehingga mampu membuatkan peminatnya seakan ‘histeria’ dan tidak mampu menahan perasaan teruja ketika melihat penyanyi pujaan beraksi di atas pentas. Kata orang, bukan biasa-biasa ni.