Sebelum ini, tular di media sosial mengenai 47 orang jemaah haji yang berada dalam kategori warga emas yang dipercayai telah ditipu oleh ejen haji tempatan ketika mereka berada di Arab Saudi.
Walaupun kesemua jemaah itu telah sampai di Jeddah pada Mei lalu, namun rombongan mereka dilarang masuk ke kota suci Makkah kerana mereka tidak mempunyai visa haji.
Jemaah-jemaah tersebut kemudiannya dipaksa oleh ejen haji untuk berjalan kaki di laluan berbahaya untuk mengelak mereka daripada dikesan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Selain itu, jemaah-jemaah haji tersebut juga mendakwa mereka diberikan bilik yang sempit serta makanan yang tidak mencukupi ketika di sana.
Terkini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima tiga laporan polis mengenai penipuan pakej haji ke atas sekumpulan warga emas yang didakwa dikurung dan dipaksa meredah laluan berbahaya di Arab Saudi.
Memetik laporan Harian Metro, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman iaitu Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, tiga laporan polis itu dibuat oleh ahli keluarga jemaah yang berada di Malaysia.
Perkara itu sedang diteliti dengan serius oleh JSJK dan siasatan merangkumi pelbagai elemen. Buat masa ini masih terlalu awal untuk menyatakan wujud unsur penipuan rentas sempadan.
Keterangan dan bukti sedang dikumpul berkenaan kemungkinan sindiket terbabit bekerjasama dengan ejen tertentu atau pun tidak.
Dalam pada itu, Muhammed Hasbullah turut berkata pihaknya masih menunggu kepulangan semua mangsa untuk dirakam percakapan dan mengambil tindakan lanjut.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.